Presidennya, Mohd. Hanipiah Awang berkata, melalui pe­nganjuran himpunan tersebut pihaknya akan membawa pemilik motosikal berkuasa tinggi itu menikmati keindahan pantai di kawasan Bachok.

Menurutnya, terdapat bebe­rapa kawasan pantai di Bachok yang masih belum popular khususnya dalam kalangan rakyat di negeri ini termasuklah pelancong luar.

“Bila kita bawa ke Bachok para peserta dapat melihat sendiri keindahan pantai di kawasan berkenaan dan ianya pas­ti memberikan pengalaman baharu kepada mereka.

“Kebanyakkan peserta ini datang dari seluruh Malaysia. Ada juga dalam kalangan mereka dari luar negara seperti Thailand,” katanya kepada pemberi­ta pada program Himpunan Pemilik Motosikal Harley Davidson Pantai Timur, di sini hari ini.

Mohd. Hanipiah berkata, me­lalui program berkenaan HOG Kelantan turut mempromosikan makanan tradisi dan seni budaya rakyat kepada peserta dari luar negeri ini.

Katanya, apa yang dilakukan ini merupakan salah satu khidmat sosial HOG Kelantan mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini.

“Kami ahli HOG Kelantan sedia menjadi duta kecil dalam mempromosikan negeri kepada pelancong dari luar. Kelantan mempunyai banyak tempat-tempat menarik, jadi sayang jika ia tidak dipromosikan,” katanya.

Dalam pada itu, HOG Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi kerajaan Pusat yang memberikan soko­ngan dalam penganjuran program berkenaan.

Katanya, sokongan ini me­nguatkan lagi semangat HOG Kelantan untuk mempromosikan negeri ini kepada orang luar.