Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, kadar jangkitan HIV baharu sehingga Oktober lalu mencatatkan 8.9 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurut beliau, kadar tersebut telah mencapai sasaran negara bagi jangkitan HIV baharu iaitu 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri mencapai sasaran kadar jangkitan HIV baharu negara sebelum 2015.

“Walaupun terdapat penurunan kes jangkitan HIV di negeri ini, kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi luar dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membenteras penularan penyakit ini perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2014 dan pelancaran Program Negeri Sembilan Menuju Sifar HIV peringkat negeri di Dewan Orang Ramai Sikamat dekat sini semalam.

Shamsulkahar memberitahu, seramai 7,170 penghidap penyakit HIV dan AIDS dikesan di negeri ini sejak 1986 hingga Oktober lalu.

Jelasnya, jumlah kumulatif itu meliputi 6,144 pesakit HIV dan 1,026 merupakan penghidap penyakit AIDS di seluruh negeri ini.

“Berdasarkan rekod, jumlah kumulatif kematian yang dicatatkan sepanjang tempoh tersebut adalah seramai 626 orang,” katanya.

Beliau berharap Program Negeri Sembilan menuju sifar HIV akan berjaya dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi daripada semua pihak sama ada daripada kerajaan mahu pun bukan kerajaan.

“Saya berharap matlamat tiga sifar iaitu sifar jangkitan HIV baharu, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan AIDS akan tercapai menjelang 2020,” katanya.