Timbalan Presiden Himsak, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, pihaknya juga telah berhubung kesemua keluarga mangsa untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tragedi tersebut kerana kesemua mangsa masih trauma apatah lagi salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

"Presiden Himsak, Datuk Mohd. Faizal Daud turut berada dalam bot ini semasa kejadian berlaku bagaimanapun beliau tidak mengalami kecederaan.

"Kita telah aktifkan pusat bantuan untuk menyalurkan segala bantuan yang diperlukan terutama kepada keluarga Allahyarham Nurnasibah Husna Ibrahim.

"Kejadian ini adalah bencana yang tidak dapat dielakkan dan saya berharap semua pihak menghormati mangsa dengan tidak membuat sebarang spekulasi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam tragedi kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, bot yang dinaiki 14 pelajar dan Mohd. Faizal dikatakan terbalik selepas berpusing beberapa kali berpunca daripada kerosakan enjin di tempat kejadian.

Nurnasibah Husna yang juga Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas manakala 14 lagi penumpang serta pemandu bot itu terselamat.

Mahasiswa terbabit merupakan sebahagian daripada 60 pelajar dari universiti di seluruh negara yang mengikuti Program Pemantapan Pemimpin Muda Kelantan anjuran persatuan tersebut bermula Jumaat dan berakhir hari ini. - UTUSAN ONLINE