KUALA LUMPUR 17 Feb. - Orang ramai dijemput untuk memeriahkan sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK 2017) yang akan berlangsung mulai 22 Feb hingga 6 Mac depan.

Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, sambutan itu diadakan bertujuan memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf dalam usaha memartabatkan industri kraf tempatan.
“Sambutan kali ke-15 ini juga secara tidak langsung dilihat mampu meningkatkan pendapatan usahawan kraf sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. HKK 2017 bakal mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik dan istimewa khususnya kepada semua pengunjung.
“Ini termasuk mengadakan Pameran Busana Perdana yang terdiri daripada koleksi pakaian batik dan songket milik Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selain Pameran Resort Natif, Batik Blok Corak 3 Lapis, Pameran Standard Batik dan Songket Malaysia dan Kids Fun Block,” demikian menurut kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE