Dimulakan dengan perarakan oleh 10 anggota Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor yang membawa masuk Bendera Istiadat Kerajaan Johor ke kawasan tugu tersebut.

Disusuli upacara mengikat bendera di tali tiang sebelum satu pengisytiharan istiadat dilakukan oleh Datuk Penghulu Istiadat, Datuk Latiff Yusuf yang memaklumkan bendera berkenaan akan berkibar sepanjang sambutan itu yang bermula hari ini.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin kemudian membacakan doa diikuti upacara menaikkan bendera dengan diiringi pancaragam dan pelepasan tujuh das tembakan meriam oleh TSN Johor.

Yang turut hadir Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani; Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd., ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Ja­wa­tankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, enam acara utama diatur di peringkat negeri bersempena sambutan ulang tahun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bermula hari ini hingga 27 April ini.

Selepas majlis istiadat tersebut, beliau berkata, disusuli Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman dan Majlis Mengadap Takzim pada 8.30 pagi, di Istana Besar, pada Khamis ini.

“Majlis Ikrar dan Taat Setia pula dijadualkan diadakan se­rentak di 10 daerah di negeri ini, pada 8 pagi, hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada sebelah petang pula, majlis Jamuan Teh akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini mulai 2.30 petang hingga 6.30 petang dan boleh dihadiri orang awam.