Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor berkata, program seumpama itu turut memupuk semangat cintakan keamanan serta menggalakkan aktiviti riadah yang sihat.

“Kekangan masa dalam kehidupan masyarakat hari ini ekoran tuntutan kerja menyukarkan ahli keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama.

“Sehubungan itu, program hari keluarga ini akan memberi ruang dan peluang kepada ahli keluarga, rakan dan anggota masyarakat mengeratkan silaturahim serta ukhwah sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Hari Keluarga Biro Ekonomi dan Usahawan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Taman Prince Philip Park, Tanjung Aru, di sini semalam.

Dalam majlis itu, beberapa acara diadakan termasuk sukaneka untuk kanak-kanak dan para ibu bapa selain senamrobik.

Selaku pengerusi biro tersebut, Fatimah Shara berharap program seumpama itu dapat dijadikan acara tahunan bagi merapatkan hubungan dalam kalangan `keluarga' kecil itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, program hari keluarga merupakan platform meningkatkan komunikasi antara ahli dalam sesebuah keluarga.

“Malah ada antara kita yang tidak pernah bertegur sapa atau bermasam muka akibat perkara remeh, namun berjaya `dipulihkan' dengan program seperti ini,” katanya.