Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi menerima pandangan dan maklum balas daripada peringkat akar umbi.

Di ruangan ini, kami ingin ber­kongsi pandangan untuk rakyat bia­sa yang mungkin tidak begitu dipedulikan, walhal bajet memberi kesan langsung terhadap ekonomi dan kehidupan mereka.

Sedangkan strategi dan angka, memberi tempias secara langsung kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara pada jangka pendek atau jangka panjang dari segi kemajuan negara, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pengurangan kemiskinan, malah kualiti hidup keseluruhannya.

Bagi memastikan ekonomi di­urus dengan baik tanpa membebankan rakyat, isu utama yang menjadi keprihatinan rakyat di ban­dar mahupun luar bandar adalah berkaitan harga barangan yang bagaikan tidak terkawal dan GST.

Justeru, kami ingin melakarkan beberapa perkara ‘kunci’ penting sebagai input yang mesti digarap dalam pembentangan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi.

Antaranya, kerajaan mesti mencari formula yang mujarab agar dapat membentangkan ‘pelan pemulihan dan pengukuhan’ kos sara hidup rakyat kerana rakyat kini benar-benar merasai kesusahan demi meneruskan ke­langsungan hidup.

Tidak ketinggalan juga amat penting agar kerajaan dapat menyelamatkan mereka daripada ke­zaliman dan kerakusan pengilang, pengusaha, pemborong dan penjual yang suka mengambil kesem­patan.

Apa pun ‘realitinya rakyat mahukan pancing dan joran’ berban­ding ‘ikan’ yang pastinya akan ha­bis dimakan suatu hari nanti.

Paradigma baharu perlu diterapkan dalam pelaksanaan Bajet 2018, iaitu menitikberatkan komponen kecekapan dalam pelaksanaan bajet-bajet kerajaan yang dibentangkan kerana ia cukup penting untuk negara dan rakyat.

Perumahan nasional untuk rakyat dengan menangani sekali lagi ‘mismatch’ atau ‘kesong­sangan’ keperluan dan bekalan.

Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mesti mengemudi ‘Da­­­sar Perumahan’ yang mena­ngani keperluan rakyat dan bukan kehen­dak pemaju dan institusi kewangan yang mahu menjana keuntungan.

Menangani pelbagai manipulasi pasaran yang mengakibatkan rakyat yang sangat berhajat terhadap perumahan, menjadi mangsa pihak spekulator termasuk pemaju dan pembeli, yang membina, membeli hanya kerana memikirkan keuntungan dan bukan sangat keperluan.

Kami juga berharap semoga Bajet 2018 tidak hanya berkisar atau menyentuh mengenai kejatuhan harga minyak, GST, kos sara hidup dan harga rumah meningkat serta hal-hal lain bersangkut paut de­ngan eknomi atau kewangan sahaja.

Namun aspek pertahanan negara, pembangunan belia, sumber manusia, perpaduan pelbagai kaum dan pendidikan adalah wajar diperkasa sebagai persediaan bagi menuju status maju.

Mengambil kira Bajet 2018 adalah cukup penting buat rakyat, pelaksanaannya perlu berlaku da­lam keadaan yang cekap dan berkesan, agar setiap rakyat dapat merasainya.

Penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya sewajarnya menyelia Bajet 2018 dengan cara sebaik mungkin bagi mengurangkan ketirisan, pembaziran, penyelewengan dan rasuah.

Semoga kerajaan bijak mengurus langkah kurang popular yang sudah dan terpaksa diambil selama ini. Sama-samalah kita berdoa dan menantikan sinar harapan dalam Bajet 2018.

A. RAHMAN MAHADI.
Presiden PPPMM