Beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000, plak, medal, tafsir al-Quran, sepersalinan baju Melayu dan sijil selain hadiah sumbangan peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berupa pakej mengerjakan umrah bersama isteri.

Bekas Guru Cemerlang Sains Gred Khas C itu sangat terharu dengan pengiktirafan itu dan sebagai tanda kesyukuran beli­au berhasrat menderma hadiah RM6,000 itu untuk jamuan iftar kepada jemaah umrah di Masjidil Haram sepanjang Ramadan.

“Saya akan menunaikan umrah selama sebulan dan akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Mei ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Guru peringkat negeri kali ke-46 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini semalam.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendi­dikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Ke­rajaan negeri, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Hamzah pernah menerima Anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada 2001 di sam­ping memenangi kategori Guru Inovatif Terengganu selama tujuh kali sejak 1993.

Pemilihan Hamzah berdasarkan sumbangannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains termasuk penghasilan Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang diguna pakai sehingga kini oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Anugerah bagi kategori Guru Cemerlang Pendidikan Khas diberikan kepada Norliza Supar, manakala Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah (Guru Cemerlang Kelainan Upaya), Guru Inovatif Individu Prasekolah (Zawani Husin), Guru Inovatif Individu Rendah (Endun Taib) dan Guru Inovatif

Individu Menengah (Nani Suraya Abdul Karim).

Dalam majlis itu, penerima Anugerah Khas Hari Guru Kebangsaan 2017 iaitu Saripah Embong dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu dan Rosemini Abdul Salam turut menerima penghargaan.

Anugerah Khas Pengarah pu­la diberikan kepada pendidik yang meninggal dunia antaranya termasuk pasangan guru yang maut dalam kemalangan di kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Mercang, Marang pada 22 April lalu iaitu Badrul Hisham Omar dan Noor Amalia Noorzan.