Yang Dipertuanya, Mohd. Ghani Salleh berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan mengadakan misi bantuan kemanusiaan ke penempatan etnik berkenaan di Myanmar selama dua minggu bermula minggu depan.

“Misi bantuan kemanusiaan Haluan ini adalah masuk kali ke­dua dilaksanakan dan kali ini seramai 244 orang akan menyertainya.

“Pada misi kali ini, kita akan mengagihkan barangan makanan serta barangan keperluan asas sambil menjalankan aktiviti dakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Bantuan Rohingya Masjid-Masjid Negeri Pahang di Masjid Al-Wosto Tanjung Besar Paya Pulai di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz dan Pengerusi Masjid Al-Wosto, Ahmad Fuad Alias.

Pada majlis itu, sebanyak RM70,000 berjaya dikutip daripada sumbangan orang ramai yang simpati dengan pende­ritaan masyarakat Rohingya.

Mohd. Ghani berkata, bantuan yang diberikan Haluan adalah menerusi pengagihan barangan makanan dan keperluan asas untuk kanak-kanak dan wanita berbanding wang tunai kerana lebih relevan mengikut situasi di situ.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada JAIP kerana meluluskan permohonan Haluan untuk mengumpul dana menerusi masjid di negeri ini.

“Melalui sokongan JAIP dan orang ramai serta dermawan membolehkan beberapa siri bantuan dapat disalurkan kepada saudara Islam Rohingya,” katanya.