Pengurus Pejabat Bank Negara Malaysia Kuching, Rosnani Mohammad Zain berkata, karnival tersebut akan diadakan di Pusat Pameran Cityone selama tiga hari dari 24 hingga 26 November nanti.

"Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama industri kewangan bertemakan 'Utamakan Keperluan Kewangan Anda'.

"Kita mahu menyampaikan maklumat kewangan seperti perancangan dan pengurusan kewangan secara berhibur yang mudah dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Taklimat Bersama Media sempena Karnival Kewangan Sarawak di Bank Negara Malaysia Pejabat Wilayah Kuching hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Bank Sarawak, Nasir Khan dan Ketua Wilayah Malaysia Timur Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Abdul Malek Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, segala maklumat berkaitan perbankan, produk dan perkhidmatan disediakan di bawah satu bumbung.

"Semua golongan masyarakat di negeri ini diseru untuk hadir bagi bersama meningkatkan pengurusan kewangan diri mahupun keluarga.

"Pelbagai aktiviti disediakan seperti permainan kuiz bersama selebriti, cabutan bertuah, pertandingan swafoto, konsert mini dan penampilan wira Sarawak," jelasnya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapat maklumat lanjut melalui laman web www.karnivalkewangan.com.my. - UTUSAN ONLINE