KANGAR 29 Okt. - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa cabaran dalam pendidikan tinggi menuntut perubahan secara dinamik bagi pembentukan kurikulum, mobiliti pengetahuan, piawaian antarabangsa, pencapaian penyelidikan dan inovasi serta kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Festival Konvokesyen Ke-13 (FESTKON13) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2018’ yang diadakan di Perkarangan Pusat Kejuruteraan, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zull Azhar Zahid Jamal.

Baginda yang juga merangkap Tuamku Canselor UniMAP menambah bahawa globalisasi dan liberalisasi ekonomi telah banyak mengubah landskap serta ekosistem pendidikan tinggi secara drastik dan kesan pastinya turut dirasai sendiri oleh UniMAP.

Oleh itu, secara amnya, perubahan yang berlaku akibat globalisasi memerlukan sumber manusia yang berminda kreatif, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar daya saing dapat diperkasakan.

‘Pengabaian aspek pembangunan sumber manusia serta kurangnya daya kreativiti di kalangan mahasiswa kini akan menyebabkan sesuatu organisasi bakal berdepan konflik dalam cabaran bagi menangani era Revolusi Industri 4.0 nanti’ titah baginda.

Pelbagai aktiviti menarik diaturkan oleh pihak penganjur iaitu Siswa Siswi UniMAP yang mendapat kerjasama padu daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti bagi FESTKON13 ini. 

Selain program dalaman anjuran universiti, pentas utama festival ini yang berlangsung dari 24-29 Oktober ini yang juga dibuka untuk kehadiran orangramai akan turut menjadi venue kepada program ‘Penutupan Latihan dan Penutup Kursus Asas Semboyan Sukarela Siri 2/2018’ yang dihoskan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat Malaysia dan penganjuran ‘Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan bagi tahun 2019’ oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Untuk rekod, Istiadat Konvokesyen Ke-13 pada kali ini berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober 2018 di Dewan Ilmu UniMAP, Pauh Putra. - UTUSAN ONLINE