J. Yugenthiran, 12, memberitahu, dia mula mempelajari seni tarian itu daripada gurunya yang turut meminati seni tarian masyarakat Melayu tersebut.

“Tarian ini berbeza dengan ta­rian masyarakat India yang keba­nyakannya memerlukan pena­rinya bergerak secara pantas dan agresif.

“Zapin amat berbeza kerana disertakan dengan gerakan yang lemah lembut dan bersopan santun,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia sempena Pertan­dingan Zapin Kategori Rendah sempena Festival Seni Muafakat Johor 2016, hari ini.

Festival tiga hari itu berlangsung di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ) di sini.

Selain pertandingan zapin, festival yang disertai seramai 2,250 penggiat seni dari negeri ini mempertandingkan Tarian Cina, Tarian India, Ghazal Remaja Johor dan Kompang Negeri Johor.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Bahagian Pembangunan Seni Budaya YWJ, Md. Sahrizal Sahlan berkata, festival tersebut menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Beliau berkata, festival itu bertujuan untuk memartabatkan seni budaya masyarakat tempatan yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan India.

“Konsep muafakat digunakan dalam penganjuran festival ini dan diharap dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk mendalami seni budaya tempatan,” katanya.