Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Negeri Terengganu menyasarkan sebanyak 25 kumpulan akan bersaing dalam Pertandingan Gendang Silat 2017 peringkat negeri yang dirancang bagi memeriahkan Sambutan Tahun Melawat Terengganu.

Yang Dipertuanya, Datuk Rosol Wahid berkata, pertandingan yang mendapat sokongan kerajaan negeri itu juga bagi menyuburkan warisan luluhur sekali gus menyemai kecintaan dan menarik penglibatan generasi muda sebagai pelapis.

“Gendang silat semakin jarang kedengaran, kecuali jika ada pertandingan atau sesekali apabila ada jemputan bagi majlis keramaian.

“Ia mempunyai irama yang menusuk dan selain mengekalkan keasliannya, ia boleh dipelbagaikan rentak untuk disesuaikan dengan keadaan melalui olahan yang kreatif,”ujarnya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, hadiah RM1,000, RM750 dan RM500 ditawarkan bagi tiga tempat teratas.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu irama gendang silat Terengganu dan kategori bebas (seperti muzik iringan wang kulit, kuda kepang) serta dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan.

“Setiap pasukan akan terdiri daripada enam orang iaitu peniup serunai, pemalu gendang anak dan ibu, pemalu gong dan dua pesilat yang membawakan tingkah bersesuaian dengan rentak paluan,”ujarnya.

Katanya, usaha ini ke arah permulaaan bagi merancang kegiatan lebih besar dan bermakna sebagai acara tradisi tahunan yang bakal diadakan serentak dengan Pesta Pantai Terengganu. - UTUSAN ONLINE