Zulkurnain Kamisan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, kesemua prasarana yang akan digunakan pada Sukma 2020 itu dibangunkan secara berperingkat-pe­ringkat.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri perlu memulakan langkah persediaan penganjuran sukan tersebut dari sekarang dan tidak perlu menunggu peruntukan khas daripada kerajaan Pusat.

“Secara tradisinya, penganjur Sukma akan menerima peruntukan khas, biasanya dua tahun sebelum temasya berlangsung. Namun kita tidak boleh hanya menunggu dan terlalu berharap sebaliknya perlu menyiapkan setiap prasarana yang diperlukan dengan cara sendiri,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Zulkurnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan berkata, prasarana yang sedang diba­ngunkan tersebut ialah Kompleks Sukan Lee Chong Wei yang menelan kos RM100 juta untuk sukan badminton dan Stadium Sports City di Mount Austin bernilai RM89 juta yang menjadi gelanggang utama acara perasmian, penutupan serta tempat berlangsungnya acara padang dan balapan.

Beliau berkata, usaha tersebut turut melibatkan pemba­ngunan Larkin Arena yang me­li­batkan tiga komponen, iaitu Stadium Tan Sri Hassan Yunos, pusat akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru dan stadium tertutup.

“Kita kini dalam usaha menyiapkan stadium tertutup yang merupakan sebahagian daripada komponen dalam projek pembangunan Larkin Arena dan menaik taraf kolam renang MBJB yang kini sedang ditutup kepada umum.

“Pembangunan prasarana ini disokong menerusi suntikan dana RM505,000 bagi tujuan mencungkil dan membangunkan bakat atlet muda di bawah program Johor Gemilang 2020 yang diumumkan,” katanya.