Dalam mengejar aspirasi tersebut, pelbagai perancangan sedang dilaksanakan dalam memastikan visi besar itu berjaya menerusi sistem governans yang cekap, telus dan berkesan.

Namun kita terlepas pandang masalah perbandaran di bandar raya Johor Bahru yang mungkin tidak disedari atau memandang­nya sebagai perkara kecil iaitu masalah gelandangan.

Masalah gelandangan di bandar raya ini kini merupakan satu isu kemanusiaan yang wajar ditangani. Mereka hidup terhimpit dan terpinggir dalam sebuah kota yang pesat membangun.

Gelandangan tidak kelihatan pada waktu siang tetapi ‘kehadir­an’ mereka pada waktu dinihari terutama pada tengah malam dan awal pagi dapat dilihat. Difahamkan sebahagian besarnya adalah orang luar yang datang menetap atau bekerja di Johor.

Berdasarkan kajian rambang terdapat lebih 100 gelandangan di bandar raya ini yang menjadikan bawah jambatan, menum­pang di hospital kerajaan selain berkeliaran di kawasan Teluk Danga sebagai tempat tinggal atau tempat tidur.

Gelandangan di bandar raya ini terbahagi kepada tiga kate­gori iaitu pertama 70 peratus adalah mereka bekerja tetapi tiada tempat tinggal, 30 peratus lagi mempunyai masalah rumah tangga manakala 20 peratus lagi penagih dadah.

Kira-kira 70 peratus adalah Melayu dan majoritinya bukan orang Johor yang menjadikan negeri ini sebagai transit. Mereka datang dari Sabah, Sarawak dan Kelantan selain ada juga orang tempatan yang mempu­nyai masalah sendiri.

Masalah ini sudah berlarutan antara lima hingga 10 tahun ini sekali gus menjejaskan imej dan status bandar raya yang sering menjadi tumpuan, apatah lagi 74 peratus pelancong yang datang ke negara ini melalui pintu masuk di Johor Bahru.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini ‘terlepas pandang’ untuk membersihkan bandar raya ini daripada gelandangan dan apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih dan isu itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Izhar Ahmad dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, tiada reaksi me­yakinkan diberikan oleh kerajaan negeri.