Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir berkata, justeru, masyarakat diseru agar mengamalkan gaya hidup sihat dari aspek pemakanan; bersenam dan sentiasa melakukan ujian saringan kesihatan.

"Kita juga perlu mencegah penyakit ini melalui beberapa amalan lain seperti tidak merokok; menangani stress dengan baik dan mengambil pemakanan secara seimbang.

"Risiko serangan jantung bagi lelaki lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita, namun golongan wanita turut berdepan risiko yang sama selepas mereka mencapai peringkat menopause.

"Oleh itu,  kita sarankan agar semua peringkat umur supaya mengambil berat tentang isu ini dan sentiasa menjaga kesihatan dengan amalan hidup sihat bermula dari awal agar ianya dapat dicegah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Negeri di Klinik Kesihatan Manek Urai, Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam pada itu,  Ahmad Razin berkata, pada tahun 2013 sebanyak 24.71 peratus kematian di negara ini adalah berpunca daripada penyakit kardiovaskular. - UTUSAN ONLINE