Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Lilah Yassin berkata, dengan terlaksananya projek tersebut, masalah gangguan elektrik yang membelenggu penduduk bakal berakhir.

“Sebelum ini penduduk terpaksa menghidupkan lampu lebih awal beberapa jam sekiranya mahu mendapatkan bekalan elektrik yang baik.

“Kadar tenaga voltan elektrik yang rendah menyebabkan mereka tidak berupaya memperoleh bekalan elektrik seperti kawasan lain,'' katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Palong, dekat sini semalam.

Tambah Lilah, melalui projek itu, kadar voltan akan dinaikkan daripada 15MVA kepada 132/11 KV.

“Projek ini akan melalui dua fasa dan memberi suasana baharu kepada penduduk Felda Gugusan Palong,” katanya.

Jelasnya, projek fasa pertama yang bermula dari Pasir Besar ke Felda Palong 12 selesai pada hujung tahun lalu.

“Kini projek fasa kedua sedang dilakukan dan dijangka selesai pada tahun 2016. Projek ini berskala besar dan melibatkan pencawang dari Bahau ke Gugusan Palong,” katanya.

Lilah berkata, sebanyak 850 buah rumah akan dibina di kawasan Palong melalui projek sentuhan kasih dan perumahan Generasi Baru Felda (PGBF).

“Di bawah projek Sentuhan Kasih, sebanyak 100 unit rumah telah dibina dekat jalan utama berhampiran Felda Palong 14,15 dan 16.

“Ketika ini, 80 peratus kerja telah siap dan dengan usaha kerajaan memberikan keselesaan hidup, maka penyelesaian awal hal berkaitan gangguan bekalan elektrik itu sedang dan telah diselesaikan secara berperingkat-peringkat,'' ujar Lilah lagi.