Perkeso adalah agensi yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
 Bagaimanapun, masih ada para pekerja yang tidak mencarum dengan  pelbagai alasan sama ada melibatkan majikan ataupun kesilapan diri sendiri.
 Bagi mendapatkan lagi penjelasan berhubung peranan Perkeso Melaka dan keberkesanan agensi itu, Wartawan Utusan Malaysia, HARITH NIZAR  menemu bual Pengarah Perkeso Melaka, FADHILAH HAMIL baru-baru ini.

 

UTUSAN MALAYSIA: Jelaskan sedikit tentang peranan Perkeso?

FADHILAH HAMIL: Antara peranan Perkeso adalah memberi perlindungan keselamatan sosial kepada para pekerja dan warisnya daripada sebarang bencana pekerjaan.

Jaringan keselamatan sosial ini dilebarkan kepada pekerja yang bekerja sendiri yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017 melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 2017 dan setakat ini hanya terpakai kepada pemandu teksi sahaja.

Mulai 1 Januari 2018 pula, ja-ringan keselamatan sosial kepada para pekerja Malaysia diperluas dengan memberi perlindungan kepada para pekerja yang hilang pekerjaan dan sekali lagi Perkeso diberi kepercayaan untuk mentadbir undang-undang tersebut iaitu Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2018.

Berapa ramai pencarum di negeri ini dan adakah jumlah itu memuaskan?

Sehingga kini, jumlah pekerja aktif di negeri Melaka ialah seramai 201,982 orang dan berdasarkan statistik yang dinyatakan dalam Data Asas Negeri Melaka 2016, bilangan penduduk yang bekerja mengikut industri bagi negeri Melaka adalah seramai 397,300 orang.

Saya berpendapat jumlah pekerja berdaftar dengan Perkeso dan aktif boleh dianggap munasabah memandangkan kakitangan bertaraf tetap, bekerja sendiri dan pekerja asing tidak dilindungi oleh akta sedia ada.

Namun masih terdapat ruang dan peluang untuk menambah bilangan ini terutama dalam sektor perniagaan kecil-kecilan dan pekerja berstatus sambilan.

Apakah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan pekerja dan majikan mencarum Perkeso?

Pihak Perkeso sentiasa komi-ted memastikan pekerja dan majikan mencarum.

Secara amnya pendekatan yang diambil melalui dua kaedah iaitu Kaedah Kesan dan Lin­dung sementara bagi memastikan majikan dan pekerja yang layak mendaftar perusahaannya, Perkeso menjalankan Operasi Kesan (Op Kesan) dari semasa ke semasa.

Setiap tahun Perkeso Melaka menyasarkan sekurang-kurang-nya enam kali Op Kesan di kawasan terpilih dan pada tahun 2017, sebanyak enam program di­lak­sanakan.

Apakah alasan yang sering diberikan oleh majikan gagal mencarum?

Antara alasan yang sering diberikan ialah masalah kewangan, perniagaan dijalankan secara kecil-kecilan dan diuruskan oleh anak-anak sahaja, selain kurang pengetahuan undang-undang.

 

Berapa ramai yang telah didakwa kerana gagal mencarum Perkeso?

Sepanjang tahun 2016, seba­nyak 39 fail pendakwaan dibuka yang mana sembilan majikan telah didakwa kerana gagal membayar caruman.

Bagi tahun 2017 pula, seba­nyak 24 majikan telah diambil tindakan pendakwaan dan sebanyak empat kes melibatkan majikan gagal membayar caruman.

Sehingga kini, majikan yang didakwa menjelaskan bayaran caruman yang tertunggak kepada Perkeso.

Adakah Perkeso mengadakan operasi bersepadu dengan agensi lain dalam memburu mereka yang gagal mencarum?

Perkeso sentiasa terbuka untuk menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain termasuk menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Melalui operasi bersepadu ini, pihak Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja dan Pembangunan Sumber Manusia telah bersetuju menjalankan operasi memastikan majikan mematuhi peruntukan yang di bawah agensi yang dipertanggungjawabkan.

Operasi sebegini dapat me­ngurangkan rungutan majikan kerana sering dianggap sebagai mengganggu perniagaan mereka.

Selain daripada itu, operasi bersepadu ini dapat menjimatkan operasi kerana agensi-agensi akan berkongsi kos, tenaga dan masa.

Sasaran sehingga hujung tahun ini?

Perkeso Melaka mensasarkan sebanyak 10 Op Kesan akan diadakan sehingga ke hujung tahun ini.

Usaha mempromosi faedah-faedah yang ada di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969 juga akan terus dipergiatkan bagi memberi kesedaran bukan sahaja kepada para pekerja malahan kepada warisnya agar celik Perkeso.

Perkeso berharap jenama ini dapat dipahatkan di hati sanubari rakyat Malaysia.

Ini memudahkan penca­rum membuat tuntutan faedah mengikut kelayakan dan secara tidak langsung mengukuhkan dana Perkeso kerana caruman dibayar secara sukarela bukan melalui proses tindakan undang-undang.

Orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan dan mengambil pekerja juga diharapkan mengambil kira kos bayaran yang ditetapkan oleh undang-undang seperti Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Adalah sesuatu yang tidak betul sekiranya seorang bakal majikan hanya mengambil kira kos gaji sahaja semasa menawarkan pekerjaan tanpa mengambil kira kos bayaran sampingan yang menjadi hak pekerja.