Kempen yang bermula dari 1 hingga 5 Jun itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan amalan gaya hidup lestari menerusi galakan-galakan seperti membawa bekas dari rumah ketika membeli-belah di bazar Ramadan.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, WAN MARHAFIDZ SHAH WAN MOHD. OMAR pihaknya percaya usaha tersebut mampu memupuk kesedaran orang ramai untuk menjadi warga kota yang peka terhadap amalan kebersihan.

Wartawan Utusan Malaysia ROSKHOIRAH YAHYA bersama jurufoto NASIRRUDIN YAZID menemu bual beliau untuk berkongsi lebih lanjut mengenai kempen yang turut mendapat kerjasama pelbagai pihak dan agensi itu.
 

UTUSAN MALAYSIA: Boleh ceritakan kempen kesedaran Clean Bazar Ramadan yang diper­kenalkan JPS?

WAN MARHAFIDZ SHAH: Kempen ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan di bawah projek Su­ngai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) bagi me­ningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepen­tingan menjaga alam sekitar de­ngan mengurangkan penjanaan sampah setiap hari.

Sempena bulan Ramadan ini, melalui kempen Clean Bazar Ramadan pihak kami mengagihkan bekas makanan secara percuma kepada pengunjung bazar dengan harapan dapat mengurangkan penggunaan plastik ketika membeli-belah juadah berbuka puasa.

Tidak dinafikan, ada yang mengambil langkah positif dengan membawa bekas sendiri ketika mengunjungi bazar namun bilangannya sangat sedikit.

Siapakah pihak yang turut sama menjayakan kempen ini?

Program ini dilaksanakan oleh Global Environment Centre (GEC) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang dilantik oleh JPS untuk memberi kesedaran kepada rakyat.

Selain itu terdapat 29 agensi terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perban­daran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang.

Kenapa bazar Ramadan di­pilih sebagai medan utama untuk menjayakan kempen ini?

Kempen ini bukan sahaja tertumpu kepada bazar Ramadan, tetapi turut diperluaskan di semua sektor termasuk perindustrian dan pembinaan.

Kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini digunakan sebagai kesempatan untuk mendekati pengunjung sekaligus mendedahkan mereka mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Pandangan tuan mengenai peranan PBT dalam menjayakan program ini.

Sejak projek ROL ini dilaksanakan bermula dari tahun 2011 sehingga jangkaan siap iaitu pada tahun 2020, kerajasama JPS de­ngan agensi lain termasuk PBT dalam menjayakan program ingin amat cemerlang dan wajar dipuji.

JPS berharap dalam tempoh tersebut lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan dengan pengli­batan pelbagai pihak.

Cabaran yang dihadapi JPS dalam menjayakan kerja-kerja pembersihan sungai?

Kos yang amat tinggi di­perlukan untuk kerja-kerja pembersihan dan pe­­­nyelenggaraan sungai.

Ke­­­rajaan memperuntukan kira-kira RM500,000 untuk kerja-kerja tersebut termasuk mengutip sampah yang terpe­rangkap pada perangkap sampah.

Jumlah tersebut tidak termasuk kos baik pulih perangkap sampah yang rosak kerana tidak dapat menampung sampah besar seperti perabot, peti sejuk dan televisyen yang dibuang ke dalam sungai selain faktor-faktor vanda­lisme.

Sekiranya orang awam sedar dan tidak membuang sampah me­rata-rata terutama ke dalam su­ngai, peruntukan boleh diagih­kan kepada perkara-perkara lain yang lebih penting.

Sejauh mana kesedaran orang ramai mengenai kepentingan dan cara menjaga alam sekitar?

Perkara yang paling sukar dilakukan adalah aspek kesedaran masyarakat iaitu bagaimana mereka mengawal dan membentuk jati diri agar menyayangi alam sekitar.

Oleh itu, kami sedia turun padang di bazar untuk memberi ke­sedaran kepada orang awam dari semasa ke semasa. Mereka perlu tahu, setiap sampah yang dibuang ke dalam longkang itu ak­hirnya menjejaskan aliran sungai dan menyebabkan pencemaran.Ternyata kesedaran orang ramai me­ngenai alam sekitar sebelum dan selepas program amat ketara.

Nasihat dalam isu penjagaan alam sekitar dan sungai?

Masyarakat perlu sedar kepen­tingan sungai sebagai sumber air bersih yang penting kepada manusia. Justeru, usaha ini tidak mungkin tercapai tanpa kese­da­ran baik dalam masyarakat.