Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Zubir Abd. Ghani berkata, program latihan kemahiran tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM700,000 dan dikendalikan oleh Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC).

“Kesemua 70 peserta program PPP terdiri daripada mangsa banjir yang dikenal pasti melalui pejabat daerah masing-masing. Kita harap program ini dapat membantu meringankan beban dan menaikkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan selepas dilanda musibah.

“Selain itu, program ini juga akan membantu mereka menjadi usahawan luar bandar, sekali gus meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan PPP - SPKR serta Peruntukan Tambahan di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad dan Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohd. Azahan Samad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zubir memberitahu, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), sebanyak RM54 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan PPP dengan jumlah peserta telah mencecah 6,290 orang.

Pada tahun ini pula, kata beliau, pihak kementerian memperuntukkan RM30 juta bagi melaksanakan PPP di seluruh negara dengan sasaran peserta seramai 3,000 orang.

“Secara umumnya, projek-projek ekonomi PPP terbahagi kepada empat skop utama iaitu projek ekonomi berasaskan perniagaan kecil-kecilan, projek berasaskan perkhidmatan, pertanian serta perikanan dan penternakan.

“Di bawah projek ekonomi PPP, setiap peserta akan mengikuti kursus keusahawanan oleh FTC serta dibekalkan peralatan dengan nilai maksimum RM10,000,” katanya.