Bagi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, pelbagai inisatif telah diambil dalam memastikan alam sekitar diurus dengan lestari dan tidak menjadi mangsa kepada kerakusan pembangunan yang mahu dilaksanakan.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH menemu bual Pengarah JAS negeri, NORHAZNI MAT SARI bagi mendapatkan gambaran tentang peranan dan
objektif jabatan berkenaan dalam pengurusan alam sekitar yang berkesan di negeri ini.


UTUSAN MALAYSIA : Kongsikan sedikit peranan dan skop tugas JAS Negeri Sembilan?

NORHAZNI MAT SARI: Ja­batan ini dipertanggungjawabkan mencegah dan mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Skop tugas jabatan ini me-rangkumi kawalan pencemaran dari punca-punca pencemaran seperti industri, loji kumbahan, projek pembangunan yang mempunyai kelulusan Laporan Penilai­an Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan pelepasan bahan cemar dari kenderaan bermotor.

Kita juga membantu pihak berkuasa negeri dalam aspek perancangan projek supaya alam sekitar dapat dipulihara.

Selain itu turut terlibat memberi ulasan teknikal dan khidmat nasihat kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di peringkat perancangan dan pelaksanaan pembangunan untuk memastikan alam sekitar diberi perhatian dan pertimbangan dalam membuat keputusan.

Apakah isu pencemaran yang kerap berlaku dan perlu dita­ngani di negeri ini?

Pencemaran terhadap kualiti air dan kualiti udara merupakan antara isu yang kerap dihadapi di negeri ini.

Tahun lalu, sebanyak 220 aduan berkaitan pencemaran udara direkodkan daripada 294 aduan pencemaran yang diterima. Oleh yang demikian, jabatan ini komited melaksanakan pemantauan harian terhadap pelepasan bahan pencemar udara daripada aktiviti industri, kuari, tapak pelupusan sampah, projek pembangunan dan pembakaran terbuka. Unit khas turut ditubuhkan bagi menerima dan menyiasat aduan orang awam bagi memastikan sistem penyam­paian yang cekap, telus dan berkesan.

Bagaimana pula usaha menangani percemaran kilang dan industri?

Secara umumnya, terdapat 1,784 industri di dalam inventori jabatan ini yang perlu dikuatkuasakan.

Bagi meningkatkan pematuhan industri kepada keperluan perundangan, kita sentiasa menjalankan penguatkuasaan kawalan dan arahan (C&C) di lapangan, mengeluarkan arahan bertulis untuk pemasangan alat kawalan pencemaran yang lebih efektif dan mengambil tindakan perundangan seperti kompaun dan tindakan mahkamah.

I­nisiatif baharu bagi memperkukuhkan penguatkuasaan iaitu melalui pendekatan pemantauan kendiri (GSR) iaitu komponen yang menyokong pendekataan penguatkuasaan sedia ada turut diperkenalkan.

Bagaimana dengan kemam-puan serta peralatan dan teknologi yang dimiliki dalam menghadapi pencemaran di negeri ini?

Kemampuan kakitangan JAS negeri sentiasa dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi semasa dan isu pencemaran yang semakin mencabar.Kemahiran dan pen­getahuan pegawai mengenai alam sekitar turut ditingkatkan dalam program latihan pengurusan serta pembangunan modal insan yang disediakan Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS).

Apakah cabaran utama dalam menguat kuasa dan memastikan pengurusan alam sekitar yang berkesan di negeri ini?

Komunikasi dan kerjasama antara agensi berkaitan sentiasa dipertingkatkan terutama dalam menangani isu-isu pencemaran yang tidak diperuntukkan di bawah perundangan Akta Kua­liti Alam Sekeliling 1974 melalui kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antaranya se­perti isu bau dan lalat dari ladang ternakan dan pelupusan sisa bua­ngan domestik di tapak pelupusan sampah haram yang menyebabkan pembakaran terbuka.

Selain penguatkuasaan, ba­gaimana pula dengan aspek pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat?

Kesedaran adalah salah satu ele­men penting bagi mencapai visi dan misi jabatan ini dan pelbagai program serta aktiviti kesedaran dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta diadakan.

Apakah cabaran dan persiapan JAS menghadapi pemba­ngunan pesat dan pertumbuhan bandar baharu dan industri dengan kewujudan Malaysian Vision Valley (MVV) yang bakal mengubah landskap pembangunan di negeri ini nanti?

Cadangan pembangunan MVV sebagai pemangkin ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke­sebelas (2016-2020) akan melibatkan pembangunan tiga daerah utama di Negeri Sembilan iaitu Seremban, Nilai dan Port Dickson.

JAS negeri terlibat sebagai ahli jawatankuasa dalam memberi nasihat teknikal bagi Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) yang akan menjadi dokumen rujukan bagi pembangunan ini kelak.

Matlamat jabatan ini adalah untuk mengekalkan alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif untuk dinikmati ge-nerasi hari ini dan akan datang.