UTUSAN: Apakah yang Datuk Seri perjuangkan khasnya membela nasib rakyat di parlimen ini?

MOHD. SHAFEI: Sejak menjadi Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada 2008 fokus utama saya adalah membantu dan membela rakyat,

Pendekatan ini adalah selari dengan prinsip kerajaan yang mengekalkan tradisi membe­la­ nasib rakyat terutama di luar bandar, pinggir bandar atau da­lam bandar.

Saya sering ‘turun padang’ berjumpa masyarakat setempat bagi mengenal pasti permasalahan dan keperluan mereka.

Kebanyakan penduduk merupakan golongan berpendapatan sederhana dan rendah kerana di sini banyak kawasan flat.

Apakah masalah-masalah yang sering berlaku di Wangsa Maju?

Selain penyelenggaraan kediaman flat swasta, isu jalan rosak, perparitan dan masalah bekalan elektrik dan air antara yang sering dibangkitkan penduduk.

Masalah ini sepatutnya di­se­lesaikan pihak pengurusan ba­ngunan (MC) atau Badan Penguru­san Bersama (JMB). Namun me­­reka juga berdepan kekangan di­sebabkan masalah yuran tertunggak.

Di pihak saya, bantuan dihulurkan termasuk menanggung kos penyelenggaraan contohnya kerosakan jalan dalam kawasan flat dan kerja-kerja mengecat. Walaupun dari segi ‘hukum’, kita tidak boleh bagi kerana itu flat swasta. Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berusaha meluluskan peruntukan tersebut.

Bagaimana Datuk Seri melihat isu kebajikan kepada golongan sa­sar di kawasan ini?

UMNO Bahagian Wangsa Maju melalui Biro Kebajikan setiap minggu ‘menjelajah’ rumah ke rumah melalui skuad yang ditubuhkan untuk mengenal pasti siapa yang memerlukan pertolo­ngan.

Hampir setiap bulan, sebanyak 1,000 pek berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak diagih kepada golongan memerlukan.

Selain itu, kita turut menjalankan kerja-kerja baik pulih kediaman penduduk yang usang.

Boleh Datuk Seri perincikan mengenai kerja-kerja baik pulih kediaman asnaf?

Sejak awal bulan lalu, sebanyak 15 keluarga kurang berkemam­puan di parlimen ini dipilih me­nerima sumbangan membaik pulih kediaman yang rosak.

Kerja-kerja dilakukan secara bergotong-royong bersama penduduk setempat dan sukarelawan.

Setiap kediaman terbabit me­­­nerima bantuan se­banyak RM5,000 hingga RM10,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksa­naan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Kerja-kerja melibatkan proses mengecat, penggantian bumbung rumah, zink, tingkap, lantai dan sebagainya.

Program tersebut bertujuan memupuk sifat prihatin dan tolong-menolong terhadap golo­ngan asnaf.

Kerja-kerja baik pulih rumah berkenaan mendapat kerjasama­ pihak Angkatan Pertahanan A­wam Malaysia.

Saya mengucapkan terima ka­sih kepada semua pihak yang membantu golongan yang memerlukan.

Jika pihak ICU melihat program ini berjaya, saya percaya mereka akan memberi lagi bantuan.

Pemilihan rumah di­buat dengan cara kita tur­un padang bersama pihak ICU turun padang melihat sendiri keadaan kediaman usang terlibat untuk diberi bantuan.

Selain menjadi Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri juga merupakan Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA). Boleh kongsikan mengenai peranan UDA dalam membantu masyarakat setempat?

Selain memperjuangkan bumiputera dalam pembinaan hartanah, pihak UDA turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu bumiputera meraih keuntungan. Kami menyediakan sebanyak 70 gerai perniagaan makanan dan minuman berkonsepkan kiosk untuk para peniaga di Wangsa Maju. Buat masa ini, kami hanya laksanakan 10 gerai sebagai ‘pilot projek’ atau sesi percubaan terlebih dahulu.

Sekiranya usaha ini memberi hasil positif, kami akan menyediakan baki 60 gerai itu lagi kepada peniaga terpilih.

Lebih istimewa selain menyediakan gerai, kami turut memberikan lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada mereka.

Ini berikutan kebanyakan me­dan selera di parlimen ini tidak teratur dan tidak selesa. Apabila konsep kiosk diperkenalkan, peniaga boleh menjalankan perniagaan dengan lebih selesa, teratur dan bersih.

Saya berjanji jika Ba­risan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti, medan selera yang tidak teratur itu akan dinaik taraf.

Bagaimana pula dengan persediaan jentera BN Wangsa Maju menghadapi PRU-14 akan datang?

Kami telah menambah seba­nyak 12,500 pengundi baharu Melayu kerana di sini merupakan kawasan majoriti Melayu.

Kita melihat daripada segi kecenderungan pengundi Melayu kepada UMNO jauh lebih tinggi daripada kecenderungan pe­ngundi Cina terhadap BN.

Saya nampak peluang itu le­bih baik jika calon UMNO diberi peluang bertanding di Wangsa Maju. Pada PRU-13 lalu, majoriti undi BN adalah 5,511 dan kita kalah.

Oleh demikian, dalam proses sejak 2013 hingga tahun ini, kita berusaha mengingatkan ma­syarakat setempat mendaftar se­­bagai pengundi, termasuk me­ngadakan kempen besar-besaran.

UMNO lebih bersedia dan me­lihat peluang untuk menang adalah cerah.

Kami tahu siapa yang betul-betul menyokong kami, pengundi ‘atas pagar’ atau ‘main wayang’ dengan kami.

BN cukup berhati-hati dalam mencorakkan strategi turun padang ketika ini dan bersedia untuk pergi berperang.

Harapan Datuk Seri sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di Wangsa Maju?

Saya berharap pengundi atau penduduk perlu membantu untuk kami membantu mereka se-mula.

Selama ini, ada majoriti yang memilih PKR, sudah dua penggal. ‘Mereka’ ini tidak buat kerja. Apabila penduduk ada masalah, penduduk jumpa kami.

Wakil rakyat tidak turun padangpun, rumah terbakar tak turun, ada bencana tak turun, jadi yang turun siapa?. Yang turun, kami lah yang akan pergi menyelesaikan masalah-masalah.

Semuanya dibuat oleh UMNO dan BN Wangsa Maju. Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa UMNO yang cukup rajin be­kerja, terma­suk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak permuafakatan masjid, surau dan pendidikan. Kalau semua beri maklum balas, kami boleh selesaikan.

Kalau tiada, kami anggap tidak ada masalah. Selain itu, kami turut menjadi pengantara dan pelaksana kepada DBKL jika me­libatkan isu-isu pihak berkuasa tempatan atau agensi.