Lebih meriah, acara itu diadakan dalam bentuk pertandingan dan turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk go­longan anak muda.

Ibarat satu tradisi, di Parlimen Larut, Fiesta Kacau Dodol Per­dana sudah menjadi suatu kemestian yang disertai oleh penduduk kampung sejak sembilan tahun lalu.

Namun, penganjurannya pada tahun ini disifatkan sebagai terbesar pernah diadakan dengan penyertaan hampir 2,000 orang selepas solat tarawih.

Bertempat di Astaka Batu Ku­rau, fiesta tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Larut, turut mendapat penyertaan daripada semua agensi di bawah Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke­penggunaan (KPDNKK) termasuk UMNO cawangan.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau gembira apabila melihat penyertaan fiesta dodol kali ini meningkat kepada 56 pasukan berbanding 35 pada tahun lalu.

“Matlamat utama kita me­nganjurkan program ini adalah untuk merapatkan hubungan si­laturahim dalam kalangan ma­syarakat di Parlimen Larut.

“Keduanya, kita hendak membantu kampung-kampung untuk menyediakan makanan asli tradisional yang paling me­reka suka pada Hari Raya Aidilfitri iaitu dodol,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian fiesta tersebut di sini baru-baru ini.

Pelbagai ragam dan resepi kreatif dipertaruhkan oleh pa­sukan yang bertanding untuk membangkitkan variasi rasa do­dol termasuk penghasilan dodol jenis rangup, bagi memikat hati juri.

Sehubungan itu, Hamzah percaya, masyarakat dalam kawasan Parlimen Larut mampu untuk mengetengahkan produk dodol sekiranya tradisi itu diteruskan pada setiap tahun.

“Penganjuran fiesta ini kita adakan pada waktu malam untuk kali kedua. Sebelum ini, kita anjurkan pada waktu pagi. Namun, kita kasihan para peserta yang berpuasa kerana bertungkus-lu­mus menggunakan sepenuh te­naga untuk mengacau dodol.

“Apa pun saya bersyukur ke­rana matlamat kita untuk merapatkan silaturahim melalui fiesta ini menjadi kenyataan. Malahan, para peserta juga bersemangat untuk menaikkan nama kampung masing-masing,” katanya.

Fiesta Kacau Dodol Perdana Parlimen Larut diadakan secara bergilir-gilir pada setiap tahun di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Kurau, Selama dan Kubu Gajah.

Selain aktiviti kacau dodol, terdapat juga pertandingan memasak yang rata-ratanya disertai oleh kaum ibu dan pelakon Fizo Omar selaku ikon Kembara Negaraku, turut dijemput menceria­kan suasana.

Pertandingan kacau dodol ta­hun ini dimenangi oleh kumpulan ‘Mok Cun’ yang mewakili Wanita UMNO Bahagian Larut de­ngan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh kumpulan Pemuda Kampung Bukit Bertam dan Batu 14, Batu Kurau.

Wakil pemenang utama per­tandingan tersebut, Jamaliah Ya­haya, 65, dari Kampung Kubu Gajah, berkata, mereka memilih untuk menghasilkan dodol tradisional asli dengan hanya menggunakan gula, santan dan tepung pulut.

Jamaliah yang juga mengusahakan perusahaan dodol sejak 15 tahun lalu, tidak lokek untuk berkongsi petua menghasilkan dodol berkualiti.

“Yang penting, nombor satu, tepungnya kena elok. Tidak bo­leh masam. Keduanya, santan kena masak elok-elok sampai keluar minyak, tidak boleh masam.

“Kemudian kita gunakan gula merah. Gula itu perlu dimasak dan kemudian ditapis. Selepas itu, baru kita bancuhkan tepung itu dengan air, jangan biarkannya bergentel-gentel. Kita kacau agak-agak tepung itu sudah masak, masukkan santan tadi dan teruskan kacau elok-elok.

“Selepas itu, barulah kita ma­sukkan gula dan garam serta daun pandan sedikit, itu sahaja,” katanya.