Pelbagai pengisian kegiatan diatur sepanjang bulan ini di pekarangan jeti Pulau Duyong di sini dalam program tahunan kali ketiga melalui penglibatan Jabatan Pelancongan Terengganu selaku penganjur dengan kerjasama Duyong Art Gallery.

Berkonsepkan ‘Anok Tranung’ program ini antara lain mengete­ngahkan hasil karya seni tempatan seperti seni foto, lukisan, kraftangan, videografi, arca, muzik, di samping aktiviti bot penambang dan persembahan kesenian.

Selain berbentuk pameran, demonstrasi dan persembahan, turut diadakan aktiviti jualan di jeti dengan penglibatan 60 pe­ngusaha kreatif serta diskusi ilmiah mengenai seni warisan.

Pra-pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Pe­ngarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faizal Tun Abd. Razak di Duyong Art Gallery di sini semalam.

Yang hadir sama, Penyelaras acara itu, Nik Mohd. Hazuwal Nik Lah dan penasihat Duyong Art Gallery, Rohani Longuet.

Tun Ahmad Faizal Razak berkata, konsep ‘Anak Tranung’ bertujuan mengetengahkan hasil produk dan kesenian tempatan selaras untuk mempromosikan program tahun melawat Terengganu.

“Objektif utama kita adalah untuk menghimpunkan semua karya atau produk penggiat dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung juga membuka peluang kepada usahawan muda menjana pendapatan lebih tinggi melalui pendekatan secara kreatif ini,” ujarnya.

“Bagi tahun ini, acara kemuncak dilanjutkan kepada tiga hari, malah kita menerima penyertaan lebih 60 usahawan kreatif bagi bersama memeriahkan program,” ujarnya.