AZLAN: Ini tahun 2016, selera penonton bukan lagi hero tetapi antihero, perwatakan saya berlatar­belakangkan pengetahuan dan pe­­ngalaman industri hi­bu­ran di mana menjadi ‘kurang ajar’ adalah salah satu watak antagonis yang perlu dalam kempen ke­sedaran cara kreatif ini.

Bagaimanapun, jalan cerita bermatlamat ak­hir yang baik dan kesan positif perlu dikekalkan dan Brotherhood membuktikan dengan pelbagai tindakan demi menyelamatkan pengguna jalan raya.

Saya juga sebenarnya lebih suka memberi peluang jabatan berkaitan senggaraan jalan kembali menjadi hero rakyat.

Cuma harapan saya agar hero-hero ini bangun dan bertindak lebih awal dengan tindakan dan bukan cakap kosong.

Ada juga yang mengatakan saya menggunakan kaedah pendekatan psikologi terhadap pelbagai jabatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Saya serahkan kepada pembaca Utusan Malaysia untuk menilai sendiri.

Kongsikan tentang tar campuran Brotherhood. Adakah ia menepati piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR)?

Sejak 2010, Brotherhood mengkaji dan membandingkan pelbagai produk tar jenis cold mix dalam negara dan luar negara bagi tujuan turapan sementara (kes kecemasan), sementara menunggu turapan kekal.

Pada tahun lalu, akhirnya kami berpeluang mengenali satu-satunya kilang pembuatan cold mix yang mahu bekerjasama terutamanya dari sudut input hasil turapan, perbandingan dan perkembangan produk .

Kami yakin produk yang dihasilkan adalah antara yang terbaik dan menepati spesifikasi JKR malah tar campuran kami lebih cepat kering, tahan lama dan mudah digunakan tanpa perlu meletakkan air.

Keberkesanan ini diakui ramai pengguna produk kami termasuk unit-unit Brotherhood dari pelbagai negeri.

Tar berharga RM35 bagi sekampit seberat 25 kilogram diberi percuma kepada seluruh ahli Brotherhood yang memerlukannya untuk menurap jalan dan segala kos ditanggung sepenuhnya saya sendiri.

Pandangan Bro­t­herhood mengenai Aku Janji Sifar Pothole?

Kami menghargai usaha ‘Aku Janji Sifar Pothole’, namun jalan raya di bawah kuasa senggaraan JKR merangkumi beberapa syarikat konsesi dan pemilik utiliti.

Mereka pula mempunyai pelbagai kontraktor dan mungkin kontraktor sub. Kita bukan sekadar bercakap tentang kelemahan struktur jalan tetapi juga sistem.

Saya yakin sesiapapun boleh menutup lubang di jalan raya, tetapi kenapa masalah berlarutan? Adakah kelemahan sistem pemantauan atau komunikasi jabatan?

Adakah masalah peruntukan atau ketirisan? Atau kekeliruan persempadanan?

Bagaimanapun, kami akui ada perkembangan baik beberapa JKR negeri dan syarikat konsesi. Kami ucapkan tahniah dan terima kasih.

Bagaimana anda melihat per­khidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang?

Mereka tidak dapat lari daripada masalah sama, malah isu ini sebenarnya lebih besar kerana pelbagai pemilik utiliti berpusat di sini.

Kerosakan penutup lubang uti­liti, mendapan dan turapan rosak berpunca dari kerja utiliti tidak sempurna bukanlah perkara baharu.

Ditambah pula, dengan pekerja kontraktor warga asing dilihat ramai yang tidak berkelayakan menjalankan tanggungjawab dari sudut ke­sempurnaan, keselamatan pengguna jalan raya, termasuk kekemasannya juga seringkali dipertikai.

Minggu lalu restoran, minggu ini kerja sekuriti dan esok pula kerja buat jalan. Tangkap muat. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti sama ada pekerja kontrak sebegini pernah melihat betapa kompleks­nya susur jalan dan jalinan saliran bawah tanah seperti di Lembah Klang di negara mereka sendiri.

Tetapi saya percaya PBT di Lembah Klang sedang berusaha mengatasi masalah ini seperti menamatkan lantikan kontraktor oleh syarikat pemilik utiliti dan menggunakan kaedah baharu penutup lubang utiliti yang diuji keberkesanannya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melarang kontraktor syarikat utiliti menurap jalan raya supaya kualiti terjamin. Apa pandangan saudara?

Tindakan DBKL itu sebenarnya bertepatan dengan situasi yang te­lah sekian lama menghantui pengguna jalan raya Kuala Lumpur ter­utama penunggang motosikal.

Banyak kemalangan dan kerosakan kenderaan disebabkan turapan tidak sempurna kontraktor lantikan pemilik utiliti ini namun begitu, tindakan ini baru diambil.

Saya percaya kita perlu menunggu untuk melihat kesannya nanti. Jika sebelum ini memo naik taraf jalan oleh DBKL seringkali diabaikan syarikat pemilik utiliti. Mungkin kerana sistem amaran beberapa kali, denda hanya RM500 sahaja, sedangkan kos pengurusan satu mayat lebih RM4,000.

Kami juga mahu lihat keberkesanan 24 kontraktor lantikan DBKL ini sendiri. Adakah mereka juga akan mengorek lubang setelah jalan baharu sahaja diturap? Adakah kualiti turapan mereka lebih sempurna? Kita perlu tunggu dan lihat.

Mengenai fenomena Brotherhood, PBT semakin bagus dan pantas bertindak atau masih sama?

Ada yang semakin bagus dan ada yang masih kekal ketinggalan dalam cabaran Brotherhood, yang semakin bagus, kami ucapkan terima kasih dan syabas manakala yang ketinggalan akan melihat ‘tanda’ dan turapan Brotherhood.

Kami sering menganggap ini adalah satu permainan cabaran, siapa yang jumpa lubang dahulu? PBT, JKR, konsesi, pemilik utiliti atau Brotherhood?

Cuma kami berharap agar kita semua berdoa, bukan mangsa menjum­pai lubang terlebih dahulu kerana saya percaya kita semua tidak mahu ada mangsa yang mungkin ahli keluarga atau saudara kita sendiri.

Setiap masalah sama ada JKR, PBT dan sebagainya mem­punyai saluran aduan, tetapi Brot­herhood memilih untuk terus memuat naik di dalam laman sosial?

Brotherhood bukan kumpulan pengadu tetapi kami adalah pencabar yang baik.

Jika pihak bertanggungjawab gagal menyahut cabaran, kami akan mengambil tindakan sendiri kerana ini berkaitan nyawa.

Kami memilih untuk menjadikan masalah kualiti jalan raya viral di laman sosial kerana jalan raya adalah laluan semua pengguna dan mereka berhak me­ngetahui lokasi kerosakan agar lebih bersedia.

Jika status saya yang dimuat naik di laman sosial menghampiri tiga juta dan saluran aduan mereka tersembunyi antara pe­ngadu dan penerima aduan, ditambah dengan tindakan entah bila, ada­kah saluran mereka le­bih baik untuk semua?

Yang pasti, Brotherhood bukan mata dan telinga percuma pihak bertanggungjawab, mereka sewajarnya mempunyai pemantau bergaji yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Sila hormati nyawa saudara kami.