Sehubungan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, mengambil pendekatan pemasaran dengan membawa buah durian berkualiti terus dari ladang kepada orang ramai dan berjaya menembusi beberapa pusat membeli-belah yang selama ini melarang penjualan raja buah terbabit atas alasan bau kurang menyenangkan.

Wartawan Utusan Kota, ABDUL RAZAK IDRIS mewawancara Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin untuk berkongsi misi beliau memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya.


UTUSAN: Adakah FAMA Selangor mempunyai program pemasaran khusus untuk rakyat negeri ini?

ABDUL GHARIF: Alhamdu­llillah tahun ini musim durian cukup ‘meriah’ terutama di Pahang, Selangor, Johor dan Perak. FAMA mempunyai program pemasaran dengan konsep menjual durian dari dusun atau ladang secara terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah.

Pada tahun ini, FAMA dilihat berjaya menembusi pusat membeli-belah yang selama ini mela­rang penjualan durian, bagaimana kerjasama ini dijayakan?

Kami mengadakan Program Promosi Buah-Buahan Tempatan di beberapa pusat membeli-belah utama di negeri ini. Kami mahu mengubah stigma durian tidak mempunyai tempat untuk dijual di pusat membeli-belah. Kami dapati sekarang semakin banyak pusat membeli-belah yang mula menjual durian.

Selain pusat membeli-belah, adakah durian turut dipasarkan di tempat-tempat lain yang selama ini melarang penjualannya?

Sempena musim haji tahun ini orang ramai khususnya ahli keluarga jemaah haji berpeluang membeli buah durian Musang King dan durian kampung pada harga berpatutan di Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak minggu lalu.

Gerai jualan akan dibuka selama sebulan sempena musim haji tahun ini. Pesta jualan durian sebegini diharap memberi peluang kepada orang ramai mendapat durian Musang King yang kini sudah turun pada harga RM30 sekilogram yang sebelum ini mencecah harga jualan RM100 sekilogram.

Selain di Tabung Haji ada cadangan pemasaran atau promosi di tempat lain?

Pihak FAMA Selangor juga akan membuka pusat jualan di tujuh lokasi antaranya Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Plaza Masalam dan tapak pasar tani Puchong di negeri ini.

Justeru, kami mengalu-alukan orang ramai untuk merebut peluang mendapatkan durian pada harga terbaik. Selain dijual pada harga murah, pembeli juga diberi jaminan mendapat ganti semula jika durian yang dibeli tidak berkualiti.

Sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis adakah pihak FAMA Selangor mempunyai sebarang program di lokasi tersebut?

Pihak FAMA Selangor akan memasarkan durian di mana sahaja kawasan yang menjadi tumpuan ramai. Insya-Allah sempena Karnival Rakyat di Sungai Kandis, FAMA Selangor akan turut me­ngadakan Program Promosi Buah-Buahan Tempatan.

Justeru saya menyeru orang ramai supaya hadir ke tapak jualan yang menyediakan jualan pelbagai buah-buahan tempatan.

Selain Musang King, variasi durian jenis apa yang FAMA Selangor pasarkan?

Kita sedang giat mempromosi buah durian kampung dari Pahang iaitu Putu King. Kita namakan ia sebagai Kampung Special Putu King sebagai tarikan kepada penggemar durian. Isinya yang tebal dan lemak menjanjikan kualiti yang setanding dengan Musang King.

Sambutan terhadap Putu King juga cukup baik dan saya difahamkan oleh peniaga di Plaza Shah Alam bahawa jualan durian itu habis dalam masa dua jam.

Apakah harapan terhadap Program Promosi Buah-Buahan Tempatan tahun ini?

Kami menyasarkan sebanyak 400 tan buah-buahan termasuk durian, manggis dan duku dipasarkan di lapan lokasi promosi.

Oleh itu kami menyeru orang ramai supaya mengambil kesempatan ‘harga runtuh’ ini untuk menikmati durian-durian yang berkualiti tinggi pada harga yang jauh lebih murah dengan hadir ke gerai jualan FAMA Selangor.