Gangguan yang dijangka selama empat hari mulai 6 hingga 9 Mac pada kali ini disebabkan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Tanpa diduga tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 milimeter rosak dengan dua daripadanya pecah serta terpelanting keluar daripada strukturnya.

Kejadian itu juga menyebabkan kira-kira dua juta pengguna melibatkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terpaksa menanggung sengsara berpanjangan.

Bukan dalam tempoh tujuh saat, tujuh minit atau tujuh jam, sebaliknya mengheret kepada satu tempoh yang panjang dan penuh menyeksakan sehingga tujuh hari.

Penulis tidak berhasrat untuk mengulas atau bercerita panjang mengenai isu tersebut kerana semua sudah sedia maklum mengenainya.

Yang pasti sehingga hari ini isu air terus menjadi perdebatan dan perbincangan hangat di warung-warung kopi, media sosial, akhbar arus perdana hinggalah ke peringkat ke­pimpinan tertinggi tanpa ada solusi terbaik.

Jumlah kerugian kira-kira RM100 juta yang terpaksa ditanggung peniaga di sekitar Lembah Klang dalam tempoh itu seperti didedahkan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini sebahagian daripada kesan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Persoalannya, apakah pihak bertanggungjawab terutama kerajaan negeri Selangor benar-benar mengambil iktibar daripada kejadian itu?.

Hentikanlah sikap menuding jari kepada pihak lain atau bermain tarik tali, sebaliknya carilah penyelesaian terbaik dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Jika tidak mampu menguruskan sesuatu, mengapa tidak menyerahkan sahaja kepada yang layak. Elakkan sindrom penafian dalam diri. Belajar menerima hakikat dan kenyataan, sepahit manapun ia.