Sebagai pengasas Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru (Piusba) Negeri Sembilan, beliau bertanggungjawab dalam merintis usaha membantu golongan mualaf yang sesetengahnya diabaikan keluarga sehingga hilang tempat bergantung.
Dalam temu bual dengan wartawan MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH, beliau turut berkongsi  mengenai kepentingan  memupuk kefahaman terhadap Islam  dalam masa yang sama memastikan keharmonian antara agama dipelihara.

 

UTUSAN: Bagaimanakah timbulnya idea untuk menubuhkan Piusba?

MUHAMMAD RIDHUAN LAU ABDULLAH: Saya sendiri mempunyai pengalaman sebagai saudara baharu dan merasai cabaran yang perlu dihadapi semasa mula memeluk Islam pada 2001. Dari situ timbul idea untuk menubuhkan sebuah persatuan yang dapat mengumpulkan golongan mualaf dari pelbagai kaum dan bangsa di negeri ini. Selain menjalinkan ikatan persaudaraan berlandaskan syariah Islam, langkah ini juga dapat memberi sokongan dari segi psikologi kepada mereka.

Apakah peranan persatuan ini dan bagaimana membiayai akti-vitinya?

Persatuan ini membantu golongan saudara baharu dan keluarga dari segi kebajikan dan membangunkan ilmu pengetahuan Islam sejajar dengan arus perubahan masa kini. Bagi mencapai tujuan itu, kita sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua pertubuhan, persatuan dan agensi yang berkaitan dakwah dan kebajikan.

Sudah tentu yang paling pen-ting, persatuan ini berperanan memberi bimbingan ilmu fardu ain kepada mereka. Kita juga menjalankan aktiviti memberi sumbangan kepada mualaf dan keluarga mereka. Persatuan ini bergerak dengan bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan sumbangan pihak korporat serta individu.

SETIAP aktiviti yang dianjurkan Piusba bertujuan merapatkan hubungan
SETIAP aktiviti yang dianjurkan Piusba bertujuan merapatkan hubungan dan mengukuhkan lagi pengetahuan saudara baharu terhadap Islam.

Persatuan ini juga membuka sebuah asrama untuk saudara baharu. Boleh kongsikan sedikit bagaimana ia beroperasi?

Asrama perlindungan warga tua dan saudara baharu atau Asrama Darul Iman ini ditubuhkan pada tahun 2014. Asrama di Jalan Dato’ Muda Linggi, Seremban ini menempatkan golongan saudara baharu yang sebatang kara dan tidak ada tempat bergantung. Bagi mengelak mereka rasa dipinggirkan, asrama ini menyediakan tempat berlindung, makanan dan minuman serta pendidikan agama.

Sejak ditubuhkan bagaimana sambutan yang diterima daripada penghuni dan ke mana haluan mereka selepas tidak lagi bernaung di asrama?

Kami telah menerima puluhan saudara baharu dari pelbagai kaum termasuk orang Islam yang memerlukan bantuan. 
Selepas mereka tidak lagi bernaung di asrama, mereka akan menyewa bilik atau tinggal di tempat lain. Tetapi sebelum itu, kami pastikan mereka boleh berdikari dan dapat kerja bagi menampung hidup.

Sepanjang berada di asrama apa bentuk bimbingan yang diberikan kepada penghuninya.

Bagi golongan mualaf yang paling penting adalah mengisi aspek kerohanian mereka kerana kebanyakan sedang mencari arah dan mengenali akidah baharu. Justeru, pihak asrama menyediakan kelas fardu ain, solat berjemaah dan menjaga kebajikan mereka. Mereka juga diberi dorongan untuk terus hidup sebagai seorang Muslim.

PERSATUAN turut berperanan memberi bimbingan ilmu fardu ain kepada
PERSATUAN turut berperanan memberi bimbingan ilmu fardu ain kepada saudara baharu.

Apakah masalah yang biasa­nya dihadapi saudara baharu?

Masalah yang lazim dihadapi saudara baharu adalah penerimaan keluarga, kawan- kawan dan orang sekitarnya sebelum Islam. Saya sendiri semasa memeluk Islam, keluarga sukar untuk menerimanya.

Menjadi peranan kita untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mengubah tanggapan itu.

Bagaimana pendekatan persatuan ini dalam menjalinkan hubungan antara mualaf dengan ibu bapa dan saudara mereka yang tidak beragama Islam?

Pelbagai aktiviti dianjurkan bagi menjalinkan hubungan antara mualaf dengan keluarga.

Contohnya semasa perayaan Tahun Baharu Cina, ahli keluarga bukan beragama Islam turut dijemput meraikan sambutan itu. Bagi kaum Cina, ia adalah sambutan tahun baharu dan bukannya ada kaitan dengan perayaan agama.

Jelas sekali bahawa Islam tidak memutuskan silaturahim antara keluarga walaupun berlainan agama. Dalam negara berbilang kaum dan agama di Malaysia, penting untuk menjaga dan mengekalkan keharmonian antara penganut agama.