Mohamed Khaled Nordin

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dari 2010 hingga 2015, Johor berjaya membawa masuk pelaburan hampir RM86.3 bilion, jauh meninggalkan ne­geri-negeri lain se­perti Selangor dan Pulau Pinang.

Malah, menurutnya, Johor juga menduduki tempat pertama sebagai penerima tertinggi pelaburan dalam sektor pembuatan dari 2013, malah pelaburan terkumpul di Iskandar Malaysia termasuk perkhidmatan mencecah RM208 bilion dengan 51 peratus sudah direalisasikan.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2014 dan kadar itu 0.7 peratus lebih tinggi berbanding bacaan peringkat nasional yang hanya mencatatkan 5.40 peratus.

“Johor juga berjaya mencatatkan lebihan dalam pengurusan kewangan secara konsisten sejak 2013 hingga 2015,” katanya menjawab soalan Abd. Razak Minhat (BN-Serom) mengenai kedudukan pencapaian kerajaan negeri terhadap pembangunan dan kemajuan negeri ini secara keseluruhan hingga kini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, hasil kerajaan negeri pada 2015 seba­nyak RM1.549 bilion, iaitu 25 pe­ratus melebihi anggaran asal berjumlah RM1.239 bilion dan hingga 31 Disember tahun lalu, rizab ne­geri ini berjumlah RM2.63 bilion.

Selain itu, tambahnya, pertumbuhan ekonomi yang baik dica­tatkan negeri ini turut mempe­ngaruhi dan memberi penambahan kepada jumlah perolehan rakyat negeri ini, iaitu meningkat 42.3 peratus kepada RM5,197 pada 2014 berbanding RM3,650 pada 2012.

Pada masa sama, negeri ini terus menjadi pilihan dalam sektor perkhidmatan terutamanya industri kreatif dan multimedia menerusi pembinaan Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

“Sektor pelancongan pula me­nyaksikan peningkatan tertinggi kadar kemasukan pelancongan di Malaysia, hasil Pelan Induk Pelancongan Johor yang dimulakan pada Jun 204, iaitu peningkatan daripada 6.42 juta pelancong kepada 6.95 juta pada 2015,” katanya.