TfL menyifatkan Uber ‘tidak sesuai’ untuk bero­perasi sedangkan lebih 40,000 pemandu Uber dengan 3.5 juta pelanggan di kota metropolis ibu negara United Kingdom itu dan seperti di Malaysia, e-hailing mendapat kritikan persatuan dan pemandu teksi.

Kebetulan minggu lalu, penulis bertemu dengan seorang kenalan wanita dari negara itu, Serena, yang turut me­nyuarakan tentang kebimba­ngannya jika Uber dihentikan dan sistem pe­ngangkutan awam Kuala Lumpur-London menjadi topik perbualan.

“Dulu tidak ramai warga London menggunakan Uber, sehinggalah ribuan pemandu teksi (dipanggil black taxi) melakukan demonstrasi dan menuntut hak sama-rata dari segi kelulusan, lesen dan pelbagai syarat lain pada 2014,” kata lulusan psikologi dari institusi pengajian terkenal di negara atas angin di situ.

Kesan daripada demonstrasi itu, katanya, lebih ramai orang cuba menggunakan Uber yang boleh dimuat turun di telefon pintar itu.

Penulis berkawan dengan ramai pemandu teksi, sudah tentu menyebelahi mereka ketika kami berdua membandingkan pengangkutan ini di dua ibu negara berbeza, bukan di padang permainan yang sama rata kerana satu di negara maju dan satu lagi di negara membangun.

Penghujung pertemuan, ka­mi tiba kepada satu kesimpulan iaitu kehendak pengguna adalah penentunya dan sudah jelas siapa pemenang dalam pertarungan teksi melawan perkhidmatan e-hailing.

Uber dan Grabcar tidak sempurna namun tiada perniagaan baharu bermula sedemikian. Bagi teksi, kebajikan pemandu dan keselamatan penumpang mungkin lebih terjamin namun tidak ramai yang sanggup mengeluarkan dua tiga keping wang merah setiap hari.

Namun ini tidak semestinya berita baik kepada pemandu Uber dan Grabcar, kurangnya permintaan untuk teksi mungkin diterjemahkan kepada lebih ramai ‘rider’ tetapi kebenaran operasi oleh kerajaan menetapkan syarat serupa dikenakan ke atas mereka.

Apatah lagi suatu hari ini mungkin, e-hailing tidak lagi memerlukan pemandu yang melakukannya sebagai mata pencarian sebaliknya semua Uber dan Grab menggunakan teknologi kereta tanpa pemandu.