HASNI MOHAMMAD

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad (gambar) berkata, dua syarikat itu ialah Teto Engineering Sdn. Bhd. dan Amona Infra Care Sdn. Bhd.

Pada masa ini katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan-jabatan berkaitan sedang meneliti terma rujukan (TOR) untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan tersebut.

“Pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri itu secara konsesi adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menambah baik jalan raya di negeri ini,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Syed Sis Syed A. Rahman (BN-Tanjung Surat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar hari ini.

Hasni berkata, pelaksanaan tersebut antara lain bertujuan untuk mewujudkan Unit Inspektorat di bawah JKR bagi melakukan tugas pemantauan penyelenggaraan di seluruh rangkaian jalan di negeri ini.

Selain itu, pelaksanaan berkenaan akan membantu kerajaan negeri membuat perancangan peruntukan penyelenggaraan pencegahan jangka panjang, sekali gus mengoptimumkan bajet.

“Pelaksanaannya juga memudahkan penilaian kerosakan dan keutamaan yang seragam akan diguna pakai oleh juru perunding dan syarikat konsesi bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa kumpulan wang yang dipengerusikan Pegawai Kewangan Negeri Johor akan ditubuhkan bagi memastikan kadar harga bagi kerja penyelenggaraan, kos juru perunding dan agihan peruntukan dapat dilaksanakan secara cekap.