Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, pihaknya menjangkakan Giat Mara Prima akan disiapkan dan beroperasi lebih awal sekiranya dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita jangka Giat Mara Prima akan beroperasi pada penghujung 2016 berbanding MRSM Ulul Albab Ketereh memandangkan tapak untuk Giat Mara Prima tidak perlu ditambak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak MRSM Ulul Albab Ketereh dan Giat Mara Prima, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Mara negeri, Ismail Abdullah dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Mara negeri, Mohamad Mohd. Nor.

Annuar berkata, kedua-dua pusat pengajian itu mempunyai kelainan berbanding MRSM serta Giat Mara yang sedia ada sebelum ini.

“MRSM Ulul Albab mempunyai pusat pembelajaran al-Quran dan di dalamnya akan dibina masjid manakala bagi Giat Mara Prima pula akan menyediakan pengajian di tahap tinggi dengan pilihan kursus yang lebih banyak ditawarkan.

“Selain itu, kedua-dua pusat pengajian ini juga akan mempunyai asrama dan pelatih Giat Mara Prima akan mempunyai inkubator iaitu premis perniagaan yang dikendalikan pelatih sendiri,” katanya.