Kedua-dua premis makanan yang menjual sajian tengahari itu diarahkan tutup berikutan kea­daan dapurnya yang kotor apabila tempat penyimpanan dan penyediaan makanan tersebut ditakungi air.

Malah, keadaan longkang premis mereka yang tidak di­selenggara dengan baik hingga kotor dan berlumut juga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Rosila Yahaya berkata, operasi membabitkan 21 anggota penguatkuasa itu membabitkan pemeriksaan 31 buah premis makanan yang beroperasi di sekitar Tangkak dan Bukit Gambir.

“Kami turut mengeluarkan 17 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, tidak mendapatkan suntikan vaksin tipod, ketidak patuhan etika berpakaian sebagai pengendali makanan dan premis yang kotor.

“Setiap kesalahan terbabit boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM5,000 yang dikeluarkan pejabat kesihatan selaras dengan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009,” katanya dalam satu ken­yataan di sini hari ini.

Selain Pejabat Kesihatan Daerah, turut sama dalam operasi terbabit adalah penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muar dan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Sehubungan itu, Rosila menggesa pengguna untuk bersama-sama memainkan peranan de­ngan hanya memilih premis yang bersih untuk menjamu selera selain membuat aduan ke Pejabat Kesihatan daerah sekiranya terdapat premis yang tidak mematuhi kebersihan.

Dalam pada itu, semasa operasi sama, PPDNKK Muar mengeluarkan kompaun terhadap tiga premis berikutan gagal meletakkan tanda harga pada makanan serta dua amaran kerana tanda harga yang tidak memuaskan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.