Pengarahnya, Ir. Kormain Mohd. Noor berkata, operasi itu adalah bagi memberi fokus terhadap keselamatan para pekerja di tempat tinggi yang me­nyaksikan peningkatan kes kemalangan maut dalam kategori tersebut.

Menurutnya, kes kemalangan maut akibat jatuh dari tempat tinggi di tapak binaan di negeri ini meningkat daripada empat kes pada tahun 2012 menjadi 13 kes tahun lalu.

“Sebanyak 45 kompaun dikenakan ke atas 40 kontraktor pembinaan ka­tegori tinggi di sekitar Johor Bahru yang gagal mematuhi Peraturan Kilang dan Jentera (Operasi Pembinaan dan Kerja-Kerja Kejuruteraan) (Keselamatan) 1996.

“Kontraktor terlibat dikenal pasti berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan di 45 tapak binaan kategori tinggi di daerah ini pada Mei lalu,” katanya selepas melancarkan Kempen Mencegah Jatuh Tempat Tinggi di Tapak Projek The [email protected] Bukit Senyum, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu Sdn. Bhd., Datuk Zamani Kasim.

Dalam pada itu, beliau berkata, DOSH juga tidak berkompromi dengan mana-mana kontraktor utama yang gagal mematuhi peraturan berkaitan reka bentuk, pembinaan, pemeriksaan, penyeliaan, penanggalan dan struktur kerja sementara.

Mengenai projek The Astaka yang juga projek ikonik tertinggi di negeri ini setakat ini, iaitu dengan ketinggian 305 meter melibatkan 70 tingkat, Kormain berkata, langkah keselamatan pekerja masih sama dan perlu dipatuhi dengan baik.

“Semua projek yang berisiko tinggi dengan ketinggian lebih 40 meter diingatkan untuk mempunyai pegawai ke­selamatan projek yang sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan dengan menggunakan arahan serta peraturan keselamatan yang standard,” katanya.