Hadiah-hadiah yang terdiri daripada peti telisyen, tab, talipon pintar, drone, pakej percutian dan jam pintar ini akan diberikan kepada pembayar-pembayar penuh hutang pengajian mereka tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan KPYPJ.

Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Nasri Md. Ali berkata, ini merupakan kali kedua KPYPJ menawarkan diskaun istimewa selepas kali pertama pada Mac dan April lalu pada kadar 40 peratus.

"Penawaran kali kedua diskaun istimewa ini bagi menarik seramai mungkin lepasan KPYPJ melunaskan hutang yuran pengajian mereka sepanjang musim perayaan ini di samping berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah istimewa daripada kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua kaedah pembayaran hutang iaitu secara sepenuhnya dan kedua, secara berkala dalam tempoh yang pendek boleh dibuat secara atas talian ke akaun KPYPJ dengan menghubungi terlebih dahulu Unit Kredit KPYPJ pada talian hotline 013-2336428.

Menurutnya, penawaran promosi raya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPYPJ untuk mendapatkan kembali tunggakan yuran pengajian bekas pelajarnya sejak berpuluh tahun lalu yang kini berjumlah RM19 juta.

Nasri berkata, kutipan hutang itu perlu dipergiatkan bagi membolehkannya digunakan bagi tujuan pembangunan prasarana kolej-kolej KPYPJ selain penyediaan lebih banyak kemudahan pelajar seperti asrama, kemudahan riadah dan pengajian yang lebih selesa.

Selain itu, hasil kutipan juga akan disalurkan ke Tabung Amanah KPYPJ bertujuan meringankan bebanan penuntut kurang berkemampuan di insitusi itu.

KPYPJ juga katanya, sebelum ini telah membuka sebuah kaunter informasinya yang tetap di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru sejak 9 Mac lalu bertujuan memudahkan lepasan KPYPJ membuat pembayaran selain berfungsi sebagai pusat promosi program-program pengajian ditawarkannya.

Dari tempoh 9 Mac hingga April lalu, KPYPJ berjaya mengutip tunggakan yuran pengajian daripada lepasannya sebanyak RM274,564.78, jumlah itu merupakan penyelesaian amaun hutang sebanyak RM472,351.30 melibatkan diskaun 40 peratus sebelum ini sebanyak RM174,398.36. - UTUSAN ONLINE