Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu sebagai dorongan baharu untuk menterjemahkan falsafah pembangunannya, iaitu Gagasan Johor Berkemajuan dengan lebih berkesan dan berjaya.

Menurutnya, menerusi misi itu akan bermula era baharu untuk Johor yang bakal menyaksikan dekad penuh dengan pertumbuhan ekonomi yang agresif serta peningkatan kesejahteraan rakyat secara transformatif.

“Johor memerlukan lonjakan radikal dan transformatif yang akan memberikan wajah baharu kepada iklim ekonomi dan lands­kap kesejahteraan rakyatnya.

Hala tuju misi itu akan memperlihatkan pembangunan serta perubahan struktur ekonomi yang drastik bagi negeri ini,” katanya semasa membentangkan Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan, ekonomi Johor mesti dipacu oleh idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital, kreatif dan hijau secara besar-besaran, sekali gus memberi lonjakan baharu terhadap ekonomi tradisional.

“Dekad Baharu Johor juga akan menyaksikan transformasi sistem, budaya kerja dan norma kehidupan kepada kerajaan dan masyarakat digital, sekali gus menjadikan Johor sebuah negeri pintar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, walaupun pembangunan Dekad Baharu Johor merupakan satu impian besar dan akan dipandang secara prejudis dan pesimis oleh sesetengah pihak, namun gagasan itu adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

Beliau berpendapat, adalah tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab jika sebagai pe­mimpin, mereka tidak mengambil pendirian patriotik untuk membentangkan satu lembaran baharu demi masa depan Johor dan anak bangsanya.

“Dengan kepemimpinan yang berdasarkan prestasi, Johor menjadi sebuah negeri paling berdaya saing di Malaysia. Maka tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh diberikan mandat sekali lagi untuk terus memimpin kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak,” katanya.