Sikap gopoh dan memen­tingkan diri ini membuatkan mereka tidak teragak-agak menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu merah, berhenti di petak kuning serta salah guna lorong khas bas dan teksi.

Keengganan dan kedegilan mematuhi peraturan  itu mungkin disebabkan ada yang beranggapan PBT hanya memiliki bidang kuasa yang kecil dan tidak mungkin tindakan undang-undang yang diambil mampu menjejaskan masa depan mereka.

Pada golongan seperti ini apalah sangat nilai seke­ping notis amaran dan kadar denda serendah RM30 yang dikeluarkan oleh PBT.

Persoalan yang timbul sekarang apakah penyelesaian kepada permasalahan ini sehingga akhirnya ada yang berani memperlekeh dan seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang?

Penulis berpandangan, banyak aspek yang boleh diberi perhatian dan perbaiki dalam isu pematuhan peraturan ini.

Pertamanya, PBT  perlu melihat tentang keperluan penambahbaikan peruntukan undang-undang sedia ada yang mungkin memerlukan pengemaskinian dari semasa ke semasa.

Dalam aspek penguatkuasaan pula, elemen rasuah dan kepentingan diri khususnya mereka yang menguatkuasakan undang-undang perlu dipantau.

Jika berlaku ketirisan maka hukuman setimpal perlu dikenakan bukan sahaja kepada mereka yang berada di bawah bahkan mereka yang di atas.

Selagi tindakan tidak diambil, maka masyarakat akan terus bersikap prejudis terhadap agensi penguat kuasa yang disifatkan lemah.

Sebaik mana pun peraturan dan undang undang yang digubal tidak akan jadi pelin­dung jika penguatkuasaannya longgar.

Justeru penguatkuasaan secara berterusan dan konsisten perlulah dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan undang undang dipatuhi.

Tindakan penguatkuasaan tidak wajar dilakukan secara bermusim seperti hanya musim perayaan atau.sebagainya.

Segala-galanya bergantung kepada kesedaran dan menta­liti masyarakat mengenai aspek pematuhan, dan di pihak PBT pula ketegasan dalam menguat kuasakan undang-undang itu.

Bagi penulis kedegilan adalah sifat manusia normal, namun   biarlah kena pada tempatnya, begitu juga ketegasan yang perlu   disulami sifat adil dan berhemah.