Loga Bala Mohan

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata jumlah tersebut hanya melibatkan kawasan Kuala Lumpur sahaja dan tidak termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Katanya, pihaknya juga turut menyediakan sebanyak 13,000 pelekat kenderaan bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut.

“Walau bagaimanapun, bendera berkenaan disediakan hanya untuk jabatan dalam DBKL dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami juga meminta kerjasama daripada syarikat korporat untuk menyediakan bendera sendiri bagi mewujudkan semangat patriotik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan @ Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan (KLFCM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Sempena Hari Wi­layah, semua bangunan dan kemudahan di sekitar Kuala Lumpur akan mengibarkan bendera termasuk pemasangan bendera gergasi di bangunan DBKL dan bangunan komersial serta 350 bendera akan dipasang di tiang lampu sekitar ibu negara.

Sementara itu, Loga Bala berkata, sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini, DBKL juga menyediakan potongan bagi semua saman DBKL serta potongan 10 peratus bagi penyambungan lesen perniagaan untuk tempoh tiga tahun.

“Bagi saman kenderaan motokar, kita akan beri potongan sehingga RM50 untuk setiap saman manakala RM30 untuk saman motosikal,” jelasnya.