Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin dasar lama parti itu dapat diteruskan kerana PBB sudah berada dalam pasukan kuat di Sarawak.

Ketua Menteri berkata, mengikut sejarah, PBB merupakan parti yang mengubah dan membangunkan Sarawak bermula daripada kepimpinan Presiden pertamanya, iaitu Temenggong Tun Jugah Barieng, diikuti Tun Abdul Rahman Yakub, Tun Abdul Taib Mahmud sehinggalah Tan Sri Adenan Satem.

"Semasa kepimpinan Tun Jugah dan Tun Abdul Rahmah, banyak institusi bagi membantu golongan muda seperti Yayasan Sarawak untuk pendidikan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi perniagaan dan lain-lain dibuka.

"Adenan pula memberi inspirasi untuk mendapatkan hak rakyat Sarawak (dalam Perjanjian Malaysia 1963) yang telah terhakis dan hari ini, kita cuba teruskan usaha itu," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB Sarawak ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, era kepimpinan Abdul Taib bersama Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang pula memfokuskan kepada politik pembangunan.

Beliau berkata, PBB disokong oleh rakan-rakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) telah mengubah Sarawak menjadi bertambah maju termasuk kawasan luar bandar seperti Samarahan, Mukah dan Betong.

"Saya pula mahu parti ini bersama-sama membantu Sarawak berubah kepada masa depan digital.

"Kehidupan masa kini telah berubah. Sebab itu, parti kita hendaklah sama-sama menyusuli perubahan yang berlaku jika tidak mahu ketinggalan di belakang," ujarnya.

Beliau berkata, bagi mencapai pembangunan digital, generasi muda perlu dimantapkan dengan ilmu terkini dan PBB harus mempunyai program jangka panjang bagi mengasuh golongan tersebut.

Justeru, ujarnya, beliau telah menubuhkan Kementerian Sains dan Teknologi untuk memantapkan pendidikan di negeri ini, di samping mendapatkan peruntukan RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif serta membangunkan universiti swasta dan tempatan.

Tambahnya, beliau selaku Pengerusi Yayasan Sarawak turut menambah dana untuk membolehkan anak Sarawak melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

"Seterusnya, kita dedahkan generasi muda dengan pembangunan bakat sebab orang muda memiliki bakat tersendiri.

"Kita juga mesti menguasai teknologi kerana cara kehidupan sudah berubah menyebabkan kita mesti tahu mengawal aplikasi. Sebab itu, saya wujudkan Akta Multimedia Sarawak," katanya. - UTUSAN ONLINE