Daripada kesemua 130 calon sekolah berkenaan yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tiga pelajar mendapat 8A termasuk Damia Alexandria, 12, dipercayai menjadi antara pelajar terbaik UPSR Terengganu kali ini.

Dia mendapat A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris (Pemahaman), Bahasa Inggeris (Penulisan), Metamatik, Bahasa Cina (Pemahaman), Bahasa Cina (Penulisan) dan Sains.

Ketika ditemui, anak kepada pasangan Zakri Hashim, 46, dan Hanoryati Hassan, 37, mengakui tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu memandangkan dalam peperiksaan percubaan sebelum itu sekadar mendapat 5A.

Namun dia tidak menafikan kejayaannya memperolehi 8A dalam UPSR yang diumumkan hari ini turut didorong keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan percubaan tersebut.

“Saya tak sangka dan terkejut juga apabila dapat straight A da­lam semua mata pelajaran yang diambil sebaik saja ibu buat semakan melalui sistem pe­sanan ringkas,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini sambil ditemani ibunya, Hanoryati.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, memberi tumpuan sepenuhnya kepada guru ketika di dalam kelas selain mengikuti kelas tambahan di sekolah menjadi kunci kejayaannya.

“Saya hanya mengikuti kelas tambahan di sekolah saja, selain mengulang kaji di rumah yang banyak dibimbing oleh ayah saya (Zakri). Saya rasa syukur dengan kejayaan ini, walaupun bersaing dengan rakan-rakan berbangsa Cina, mereka tak lokek berkongsi ilmu,” katanya yang tinggal di Padang Hiliran di sini.

Damia Alexandria seterus­nya berhasrat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Berang dan permohonan untuk kemasukan telah dibuat secara online.