Pengerusi Yayasan Pendidikan al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), Mohd. Zaini Mat Abas berkata, perkara itu perlu dalam meraikan harapan dan kehendak golongan OKU terutama dalam mendalami ilmu agama.

“Masyarakat muslim di negara ini mahupun di benua lain sedikit terkebelakang dalam memenuhi keperluan individu istimewa dalam masyarakat. Antara contoh yang paling jelas, tiada program dakwah di media elektronik yang mendapatkan khidmat jurubahasa isyarat.

“Malah lebih malang lagi, bila mana golongan OKU pekak tidak diraikan di masjid seluruh negara terutama pada hari Jumaat ketika imam sedang menyampaikan khutbah,” katanya di Nilai dekat sini hari ini.

Katanya lagi, peranan besar hendaklah dimainkan oleh golongan cerdik pandai dan pentadbir negara supaya mengambil prihatin dalam hal berkaitan agama Islam ini kepada golongan OKU.

“Kita maklum, OKU buta disediakan dengan baik bacaan al-Quran dalam bentuk braille. Tetapi apa pula kisahnya bagi golongan OKU pekak yang amat bergantung kepada Bahasa Isyarat Malaysia Islami ini.

“Oleh yang demikian, sudah tibalah masanya pertubuhan berkaitan OKU ini, duduk membincangkan dengan lebih serius masalah dakwah golo­ngan istimewa ini supaya golongan itu juga mendapat didikan yang betul daripada ustaz atau pendakwah yang mahir dalam penggunaan bahasa isyarat ini,” katanya.

Sehubungan itu, Yayasan Faqeh mencari ruang kerjasama dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan dakwah OKU berasasakan pendidikan al-Quran dan ibadah, yang secara tidak langsung menjadi terapi yang sangat berkesan dalam membina jiwa dan spritual insan istimewa ini.

Yayasan Faqeh merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Isalm yang ditubuhkan untuk memberi ruang dan peluang pendidikan al Quran dan ibadah kepada insan istimewa yang selama ini masyarakat dan pihak berwajib terlepas pandang berkaitan keperluan agama dalam kalangan OKU.