Pembinaan bot khas yang akan membawa baginda menziarahi makam-makam Sultan Perak menerusi Sungai Perak sempena istiadat tersebut dibuat di kawasan Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah dekat sini.

Rata-rata penduduk di sini teruja melibat struktur tersebut sehingga ada yang sanggup ‘curi-curi’ melihatnya secara dekat.

Peniaga makanan, Norlela Mohd. Amin, 55, berkata, sejak lebih sebulan lalu, penduduk kerap ke sekitar kawasan Litar Datuk Sagor untuk melihat pembinaan bot khas.

Katanya, meskipun kawasan di situ diletakkan kon mengelak mereka yang tidak berkenaan, itu bukan halangan untuk melihat keunikan Balai Gambang.

“Siapa yang tidak teruja melihat bot khas tersebut yang begitu indah. Dapat tengok dari jauh pun rasa seronok.

“Tidak sabar untuk melihat Sultan Perak menaikinya sambil menyusuri Sungai Perak,” katanya.

Kakitangan awam, Wan Zam­zarian Jalaludin, 36, berkata, pertabalan Sultan Nazrin memberi peluang untuk rakyat melihat secara dekat istiadat berkenaan.

“Istiadat pertabalan itu terma­suklah pembinaan bot khas, dapat mendedahkan generasi muda tentang istiadat kesultanan negeri ini yang jarang dapat dilihat,” katanya.

Pekerja swasta, Mohd. Faizal Mahmud, 31, dari Kampung Tanjung Bidara dekat sini berkata, rakyat sepatutnya menggunakan peluang untuk melihat secara dekat istiadat tersebut.

“Paling saya teruja untuk melihat bentuk Balai Gambang apabila siap nanti. Ukirannya amat cantik, sesuatu yang hanya dapat kita lihat pada ukiran zaman dahulu,” katanya.

Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak dengan menaiki Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak di sini pada 13 Mei ini.