Jurucakap Markas Pemerintahan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam kenyataan berkata, lori tersebut dikesan dalam perjalanan ke sempadan Sarawak-Kalimantan Barat melalui kawasan ladang sawit berhampiran Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin pada pukul 7.15 malam.

“Kumpulan Tinjauan Berkenderan diketuai Kapten Muhamad Aizuddin Che Hassan bersama dua anggota sedang melaksanakan rondaan dalam kawasan operasi telah menahan sebuah lori jenis Toyota berwana merah dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa muatan 300 kotak sosej, 30 kotak kepak ayam dan 100 kotak tongkeng ayam dianggarkan bernilai RM 120,000 dipercayai untuk diseludup ke Indonesia dan pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen permit bagi barangan dibawa,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, pihak tentera telah membawa individu, kenderaan dan barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk serahan kes.

“Barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE