Bahkan ramai menyedari hakikat bahawa kerjaya profesional dalam bidang itu kini dipelopori oleh kaum lelaki.

Kerjaya sebagai chef yang mempunyai prestij dan kelas tersendiri selain ganjaran gaji yang lumayan adalah antara faktor yang menjadi tarikan utama.

Itulah antara pendorong yang dikongsi oleh Muhammad Qayyum Irwanzi Alwi, 28, untuk mengejar minatnya sehingga beliau berjaya bergelar seorang chef di Korea Selatan.

Muhammad Qayyum Irwanzi berkata, cita-cita untuk menjadi tukang masak itu pada mulanya tidak dipersetujui ayahnya.

“Kerjaya saya bermula ketika saya bekerja di sebuah restoran di Korea Selatan yang menyaji­kan hidangan Melayu dan Korea,” katanya.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, tawaran tersebut tidak disia-siakan dan menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk menimba ilmu.

“Saya berhijrah ke Korea Selatan pada awal tahun lalu. Perbezaan budaya dan bahasa agak menyukarkan komunikasi. Saya pernah menangis dan ingin pulang ke tanah air kerana tidak tahan apabila terpaksa bekerja selama 56 hari tanpa cuti.

“Tapi saya tetap mahu buktikan kepada kawan-kawan bahawa saya boleh berjaya dan atas kekuatan itu saya tetap bertahan sehingga hari ini,” ujar pe­nerima Pingat perak pertandingan ‘Appren­tice Team Mo­dern Western Hot Cooking on the battle of the Chefs 2011’ di Pulau Pinang itu.

Peluang berada di Korea Selatan turut memberi peluang kepada anak jati Kuala Lumpur itu menubuhkan syarikat pelancongan iaitu ‘Kita Adventure Travel & Tours Sdn. Bhd, yang kini mengendalikan kemasukan pelanco­ngan dari Malaysia ke negara itu.