Mohamad Wafi Rulrahman Osman, 17, dan rakannya, Ahmad Syihabuzurri Abdul Muhaimin, 15, ‘ditinggalkan’ bas ekspres di Kampung Berchang di sini yang mereka naiki dari Kota Bharu, Kelantan.

Menceritakan detik itu, Mohamad Wafi Rulrahman berkata, mereka yang pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Panji, Kelantan menaiki bas ekspres di stesen bas di Kota Bharu dan bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam.

Katanya, apabila tiba di Kampung Berchang berdekatan Jalan Lipis-Merapoh pada pukul 7 pagi, dia dan Ahmad Syihabuzurri ke tandas di surau berdekatan dan tidak menyangka bas tersebut cepat bergerak untuk menyambung kembali perjalanan.

“Selepas keluar dari tandas, kami terkejut kerana mendapati bas ekpres yang kami naiki sudah tiada di depan surau,” katanya ketika ditemui di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku Kampung Relong di sini semalam.

Menurut Mohamad Wafi Rulrahman, pada mulanya mereka agak panik kerana belum pernah menghadapi situasi ditinggalkan bas sejak belajar di Melaka beberapa tahun lalu walaupun kerap berulang-alik ke kampung mereka di Kelantan.

“Telefon bimbit sudah kehabisan kuasa bateri manakala dompet dan beg pakaian semuanya berada di dalam bas,” ujarnya.

Katanya, mereka berdua mengambil keputusan berjalan mencari tempat persinggahan dan bantuan termasuk mencuba nasib menahan kenderaan di laluan Kuala Lipis-Merapoh.

Katanya, mereka bernasib baik kerana bertemu dengan Imam Masjid Ar-Rahman Kuala Telang, Ahmad Nazree Shahbudin yang melalui jalan raya tersebut untuk berurusan di Pejabat DUN Padang Tengku.

“Beliaulah membantu kami dengan meminjamkan alat pengecas telefon belanja sarapan nasi lemak serta menghulurkan sedikit wang.

“Kami tidak dapat membalas budi dan kemurahan hati Ustaz Ahmad Nazree. Semoga Allah SWT memberikan rahmat di atas jasa baiknya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazree yang juga Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, dia menemui kedua-dua pelajar tahfiz berkenaan dalam keadaan letih dan lapar serta kelihatan agak panik.

“Saya menumpangkan mereka ke Pejabat DUN Padang Tengku dan menyediakan sarapan pagi serta kemudahan membersihkan diri sebelum dihantar ke bandar Raub untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur pada sebelah malam,” katanya.

Katanya, kebajikan kedua-dua pelajar itu diuruskan oleh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Raub dengan membantu membelikan tiket bas ke Kuala Lumpur termasuk makan minum.

“Mereka selamat tiba di Hentian Bas Pekeliling dan dijemput oleh seorang guru untuk pulang ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah. Selain itu, mereka juga memperoleh semula dompet dan beg pakaian dari bas ekspres berkenaan menerusi bantuan JPJ,” katanya. - UTUSAN ONLINE