Normadiah Moin, 57, berkata, ketika kejadian hanya dia dengan seorang anak lelakinya berada di rumah dan mereka terkejut apabila terdengar bunyi kuat seperti ada objek besar jatuh di atap ruang tamu rumahnya.

“Ketika itu, saya sedang bersiap untuk solat Maghrib apabila dikejutkan seperti bunyi dentuman seperti benda jatuh di atas atap, serentak itu air mencurah masuk ke ruang tamu rumah.

“Mujur saya yang masih menggigil ketika itu sempat menyelamatkan beberapa barang elektrik daripada dibasahi air hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, lebih 10 rumah rosak pada bahagian atap selepas dipukul angin kencang serta hujan lebat yang melanda kawasan Perumahan Awam Labis.

Sementara itu, Noridah Abdullah, 57, pula menyifatkan kejadian itu yang pertama berlaku sejak hampir 20 tahun menduduki kawasan perumahan tersebut sebagai paling menakutkan.

Dia dan dua anak perempuannya serta seorang cucu yang baru berusia lima bulan tergamam dan hanya mampu melihat air mencurah masuk ke dalam rumah mereka.

“Saya kemudian mengarahkan anak-anak serta cucu berlindung di ruang tamu sambil berharap angin kencang dan hujan lebat reda dengan segera ke­rana bimbang keselamatan kami,” katanya.

Saleha Hasaan, 51, pula ber­­­syu­kur kerana kejadian 
angin kencang serta hujan lebat itu hanya berlaku kira-kira 15 minit termasuk menerbangkan beberapa keping atap rumahnya.

“Berbanding jiran lain, hanya beberapa keping atap rumah saya diterbangkan angin, namun saya tidak sempat menyelamatkan perabot yang terletak dalam bilik utama,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Azahar turut manghulurkan bantuan segera kepada semua mang­sa dan menasihatkan mereka membuat laporan polis dan mengambil gambar kerosakan rumah sebelum memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya akan cuba mencari jalan untuk membantu mangsa yang terlibat termasuk mamanjangkan masalah mereka kepada JKM serta pihak berkaitan yang lain bagi meringankan beban mereka,” katanya.