Bagaimanapun, laporan mendedahkan bahawa industri pengasuhan di negara ini berdepan masalah kekurangan pengasuh berdaftar.
Sebanyak 80 peratus pengasuh yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sehingga Jun lalu didapati tidak berkelayakan.
Wartawan DIANA AZIS menemu bual Presiden Persatuan Pengusaha dan Pengasuh Taska Negeri Sembilan (PTN9), ROZITA KAMIL bagi berkongsi pandangan dari perspektif pengusaha dan pengasuh kanak-kanak serta cabaran yang perlu dihadapi industri berkenaan.

 

UTUSAN MALAYSIA: Boleh puan kongsikan latar belakang Persatuan Pengusaha dan Pengasuh Taska Negeri Sembilan (PTN9) serta objektif penubuhannya.

ROZITA KAMIL: PTN9 mula ditubuhkan pada 2002 dengan nama asal Persatuan Pengasuh Berdaftar Negeri Sembilan (PPBNS) sebelum ditukar pada 2012.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PTN9 mem­­punyai matlamat mahu menjadi pusat sehenti bagi bidang berkaitan pendidikan awal kanak-kanak menerusi penyedia­an khdimat latihan, rundingan, motivasi dan keusahawanan bagi pengusaha serta pengasuh taska di negeri ini.

Menerusi perkhidmatan yang disediakan, PTN9 mahu membuka minda masyarakat mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak khususnya taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan.

Berapa jumlah ahli yang ber­daftar di bawah persatuan dan bentuk aktiviti yang dijalankan?

Sehingga kini PTN9 mempu­nyai hampir 500 ahli.

PTN9 berperanan untuk menyelaras pelbagai kursus dan program yang memberi fokus kepada pengusaha serta pengendali mengikut keperluan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata (KAP).

Antara kursus serta program yang dijalankan termasuk pengurusan rekod taska, asas bantuan keselamatan, taklimat kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit yang mendapat kerjasama pelbagai pihak.

Ini termasuk Kementerian Ke­­­sihatan, Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

 

Apakah cabaran utama yang dihadapi pengusaha taska pada masa ini?

JKM telah mensyaratkan untuk seorang pengusaha yang mahu menubuhkan taska atau pusat penjagaan kanak-kanak perlu memiliki KAP serta melalui pelbagai proses saringan dari empat agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Bomba, KKM serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pekerja juga diwajibkan untuk mempunyai KAP yang mana turut menjadi syarat utama sebelum diambil bekerja bagi memastikan hanya individu yang berkelayakan dibenarkan menyelia kanak-kanak.

Apakah saranan kepada pihak berkuasa supaya perkhidmatan taska dapat dipertingkatkan?

PTN9 telah mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Men­teri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh baru-baru ini bagi me­ngutarakan beberapa cadangan dalam usaha memperbaiki stigma masyarakat serta mutu perkhidmatan industri pendidikan awal kanak-kanak.

Antaranya, kursus keibuba­pa­an dimasukkan di dalam KAP bagi mendorong ke­ter­libatan mereka dalam proses pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, PTN9 mahu kerajaan menguatkuasakan Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak mengikut keperluan di samping mahu kerajaan bertegas kepada ibu bapa supaya tidak memandang remeh terhadap pemilihan taska atau pengasuh untuk menjaga anak-anak.

Kes kematian bayi dan kecuaian di taska kerap menjadi bualan kebelakangan ini. Pandangan puan?

Tidak dinafikan, pertambahan jumlah wanita bekerja menyebabkan permintaan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak dan taska semakin mening­kat namun, pilihan tetap ada.

Ibu bapa perlu memastikan pusat jagaan atau taska yang di­pilih mendapat kelulusan daripada JKM. Bukan hanya pilih yang murah namun keselamatan diabaikan.

Jika memilih untuk menghantar anak ke rumah pengasuh yang tidak berdaftar, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk me­nerima apa sahaja kemungki­nan yang bakal berlaku.

Apakah kriteria yang perlu ada untuk taska menyediakan per­khidmatan terbaik?

Setiap premis perlu dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan penguasaan di­jalankan selain keluasan ruang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Hala tuju dan masa depan perkhidmatan taska di Malaysia?

Kami menyambut baik cadang­an kerajaan untuk mewajibkan setiap tempat kerja mempunyai taska bagi memudahkan ibu bapa selain menjamin keselamatan anak-anak.

Apa yang diharapkan supaya kerajaan telus dalam membuka tender kepada pengusaha taska sedia ada bagi memberi peluang kepada mereka meluaskan per­khidmatan sedia ada.

Saya juga berharap pengusaha taska dan pengasuh untuk menaik taraf perkhidmatan sedia ada ke satu tahap yang lebih baik supaya boleh bersaing dalam industri pengasuhan kanak-kanak.