Sukan sebegini yang makin popular di negeri ini dilihat sebagai satu saluran yang mampu memberi impak positif kepada mereka termasuk membentuk ketahanan diri dan keberanian dalam mengejar kejayaan.

Lazimnya sebarang kejohanan dianjur atau didokong oleh syarikat terkemuka atau pertubuhan yang agak besar, namun baru-baru ini Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Benting Lintang turut mengambil inisiatif yang sama.

Dinamakan Cabaran Motocross Besut 2017, kejohanan ini dianjurkan bersama dengan Pemuda Kampung Benting Lintang dengan kerjasama Ri­ders Motocross Cubcross Besut (RMCB).

Program bagi menarik peng­libatan remaja ini berlangsung dalam suasana meriah di pantai kampung berkenaan dan ternya­ta mencapai sasarannya dengan lebih 2,000 penonton menyaksikan kejohanan itu.

Pengerusi JKKK Kampung Benting Lintang, Ghazali Daud berkata, pihaknya gembira de­ngan sam­butan peserta dan penonto dalam kejohanan yang diadakan itu.

“Dalam kejohanan itu, seramai 150 peserta dari seluruh negeri bersaing dengan mempamerkan aksi hebat mereka yang menarik perhatian umum,” ujarnya.

Kamarul Munir muncul sebagai juara bagi kategori MX Cubcross Terbuka dan juga ka­tegori Cubcross+CKD Endurance manakala bagi kategori MX CKD Terbuka dimenangi oleh Mohd Zulkifli @ Mat Ju.

Kategori MX Terbuka pula dikuasai oleh Azam Razak manakala Suhaimi Hashim muncul sebagai johan kategori Endurance terbuka sementara Wan Khai­zanuddin bagi kategori Moto Standard.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa me­lakukan pelepasan peserta dan me­nyempurnakan majlis pe­nyampai­an hadiah kepada para pemenang.