Tanggungjawab itu ternyata digalas dengan baik oleh jabatan tersebut kerana menjadi antara agensi yang paling banyak mengadakan promosi pelancongan sama ada kepada pelancong domestik mahu pun luar negara.

Wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, AZLAN ABIDIN yang baru dilantik memegang jawatan itu mulai 1 Jun lalu.

Beliau turut berkongsi perancangan dan hala tuju PPSPM pada masa akan datang.


UTUSAN MALAYSIA: Apa yang bermain di fikiran tuan sebaik sahaja diberi tanggungjawab memimpin PPSPM, salah satu agensi yang berperanan besar membantu sektor pelancongan Melaka?

AZLAN ABIDIN: Langkah pertama yang saya fikirkan sebaik diberi tugas tersebut adalah menaik taraf sistem pentadbiran agar menjadi sebuah agensi yang berdaya saing iaitu korporat dalam usaha menjadikan PPSPM sebagai sebuah agensi yang boleh bersaing dalam meningkatkan pendapatan.

Selain itu menjadi tanggungjawab saya untuk memacu dan mempertingkatkan aktiviti-akti-viti dan peranan PPSPM untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagaimana tuan berusaha me­laksanakan tanggungjawab ini?

Tugas ini bukan mudah tetapi saya berusaha untuk melaksanakan dan menjayakan semua pe­rancangan secara kolektif.

Setiap pihak daripada pengurusan sehingga ke kakitangan di bawah diharap dapat me­lak­sanakan tugas mereka dengan penuh komi­ted dan dedikasi.

Saya akan melihat semula semua projek yang dalam peranca­ngan adakah ia memberi faedah dan kesan yang positif atau sebaliknya kepada PPSPM. Sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada PPSM kita akan gantikan dengan projek-projek yang lebih sesuai.

PPSPM merupakan salah satu agensi pelancongan yang besar di Melaka. Adakah perancangan terbaharu pihak tuan untuk menambah produk?

Salah satu perancangan saya adalah mewujudkan pencahayaan berkonsepkan tiga dimensi (3D) dan juga mengimbau kembali sejarah penaklukan sejarah kota Melaka sambil menaiki bot.

Pengunjung yang menaiki perkidmatan bot akan berpeluang melihat sendiri tayangan dalam bentuk imej 3D gambaran bagaimana Melaka ditakluk penjajah suatu ketika dahulu bagi memberi mereka merasai sendiri suasana pada ketika itu.

Apakah aktiviti besar yang dirancang oleh PPSPM selepas ini bagi menarik pelancong ke negeri ini?

Memperhebatkan aktiviti da­lam kawasan air iaitu Festival Sungai yang diadakan setiap tahun antara aktiviti yang dirancang. Kali ini ia akan diadakan pada penghujung November sehingga awal Disember depan.

Kami juga akan mempelbagaikan acara tahunan seperti berka-yak, pertandingan perahu naga.

Disember ini, saya merancang untuk mengembalikan acara Pesta Pantai yang pernah diadakan lebih sedekad lalu.

Antara pengisiannya adalah acara-acara berkaitan laut dan darat iaitu perlumbaan bot la­ju, pertandingan perahu naga, pertunjukan belon panas dan pertandingan memancing.

Sepanjang sebulan program diadakan kami menyasarkan kehadiran lebih sejuta pengunjung memandangkan waktu itu adalah cuti sekolah.

Bagaimana pihak tuan mahu mengekalkan populariti sungai dan pantai Melaka?

Langkah yang sepatutnya diambil adalah menjaga kebersihan dan kualiti air dan saya bercadang sepanjang Festival Sungai nanti, aktiviti menambah baik kualiti air iaitu menjadikan Sungai Melaka bersih dan tidak berbau turut diadakan.

In sya-Allah, projek pengindahan fasa dua Sungai Melaka dari Taman Rempah sehingga ke Me­laka Sentral telah siap dan akan dibuka tidak lama lagi dan pengunjung boleh menerokai sendiri keindahan Sungai Melaka.

Sepanjang laluan tersebut akan dihias dengan cahaya lampu yang pasti mampu menarik minat pe­ngunjung.

Apakah hala tuju PPSPM da­lam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?

PPSPM mahu menjadi agensi kerajaan negeri paling berjaya dengan sasaran kutipan pendapatan sehingga lebih RM20 juta setahun di mana ketika ini kita mampu menghasilkan kutipan antara RM13 juta hingga RM16 juta setahun.

Untuk mencapai sasaran lebih 20 juta setahun, PPSPM akan memajukan sektor pelancongan di pulau-pulau di Melaka. Ada sembilan buah pulau yang telah dan akan dimajukan antaranya Pulau Besar dan Pulau Upeh.

Akhir sekali, mungkin ada perubahan yang akan tuan laksanakan kepada PPSPM?

Hasrat saya adalah menjadikan PPSPM sebuah agensi kerajaan negeri yang dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan di dalam dan luar negara di mana PPSPM akan menjadi contoh kepada semua agansi dan jabatan lain di negeri ini seterus­nya menjadi model kepada per­khidmatan bot di seluruh negeri.