Pelancaran buku bertajuk ‘Selayang 22 Tahun Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 1995-2017’ itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani pada majlis perasmian FLLSPG ke-22 di Bukit La­yang-layang, di sini malam tadi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjur FLLSPG berkata, buku setebal 117 muka surat itu memaparkan sejarah dan perkembangan festival tersebut sejak diperke­nalkan hingga sekarang.

“Buku ini diterbitkan pada FLLSPG kali ini sempena pe­nganjurannya yang ke-22 tahun. Justeru, orang ramai khususnya peminat layang-layang boleh mengikuti pelbagai kisah dan gambar-gambar menarik sepanjang penganjurannya selama ini.

“Antara yang turut dimuatkan dalam buku ini adalah kisah dan gambar kanak-kanak (Ahmad Syakirin Ahmad Suhaimi) yang diterbangkan layang-layang gergasi pada ketinggian 20 meter,” katanya selepas majlis perasmian festival dan pelancaran buku tersebut.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Pada majlis berkenaan, seramai 1,054 peserta yang terdiri daripada peserta tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian dalam kesemua kate­gori dipertandingkan turut diperke­nalkan.

Penganjuran FLLSPG tahun ini yang bertemakan ‘Perkongsian Bersama Komuniti’ turut disertai seramai 222 pemain layang-layang dari luar negara termasuk Australia, Jepun, China, Jerman, Perancis, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

FLLSPG merupakan acara pelancongan anjuran kerajaan negeri menerusi MPPG dengan kerjasama Tourism Johor, Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Johor (PPJ).

Program itu turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pendidikan.

Lebih 300,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival yang berlangsung selama lima hari hingga esok.